‘Kami tak minat cerita lain, hanya mahu tunggakan gaji selesai’

Sukan

ALOR SETAR: Pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC yang masih berdepan tunggakan gaji tidak berminat mendengar perkembangan lain dalam pertemuan yang dirancang esok melainkan mahu masalah gaji diselesaikan secepat mungkin.

Difahamkan, satu perjumpaan antara pihak pengurusan dengan para pemain KDA dijadualkan berlangsung esok di salah sebuah hotel di bandar raya ini.

Salah seorang anggota pasukan yang enggan dinamakan berkata, para pemain amat berharap agar pihak pengurusan mengutamakan tanggungjawab melunaskan tunggakan gaji mereka berbanding memikirkan untuk beraksi dalam Liga A1 seperti digembar-gemburkan sebelum ini.
“Tidakkah mereka merasa malu untuk beraksi di Liga A1 dan membayar gaji para pemain baharu sedangkan gaji pemain pada musim lalu masih tertunggak untuk tempoh yang lama.

“Selesaikan dulu tunggakan gaji kami dan kalau tak ada duit, mungkin boleh rehat dulu semusim daripada beraksi dalam mana-mana liga tanpa perlu tutup kelab ini. Apa yang penting, lunaskan dulu gaji pemain musim lalu yang sudah terlalu lama menunggu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan, pertemuan dirancang itu sekurang-kurangnya bagi memberi ruang kepada pihak pengurusan untuk menerangkan situasi semasa yang melanda pasukan Sang Kenari.

Bagaimanapun satu sumber memberitahu, pemain tidak lagi berminat untuk mendengar cerita-cerita lain, selain daripada tunggakan gaji mereka yang dinantikan sejak sekian lama.

“Dalam situasi sekarang, ada antara para pemain yang terpaksa melakukan kerja-kerja lain antaranya berniaga secara kecil-kecilan. Kalau tidak, macam mana nak cari duit untuk makan dan minum.

“Kali terakhir pengurusan bertemu pemain adalah selepas aksi bertemu Terengganu FC pada 20 April lalu. Kini kami dimaklumkan yang mereka akan bertemu semula pemain pada 1 Jun nanti bagi menjelaskan kedudukan semasa setelah pasukan gagal mendapatkan lesen kebangsaan untuk musim depan,” katanya.

Dalam pada itu satu sumber lain memaklumkan, kebanyakan pemain KDA FC pada musim lalu akan beraksi bersama Imigresen FC yang bakal membuat penampilan sulung dalam Liga Super.

“Ada yang akan sertai Imigresen FC manakala sebahagian lagi akan menyertai beberapa pasukan lain antaranya Penang FC. Namun ada juga tiga atau empat pemain yang masih tiada kelab untuk disertai musim depan,” katanya.

Imigresen FC sebelum ini difahamkan akan menjadikan Stadium Darul Aman sebagai ‘homeground’ mereka pada musim depan.- UTUSAN