Proton e.MAS 7 dilancarkan di Trinidad dan Tobago

Perniagaan

PETALING JAYA: Jenama kereta nasional, Proton sekali lagi membuktikan kehebatannya di peringkat antarabangsa apabila berjaya menembusi pasaran Trinidad dan Tobago dengan pelancaran model kenderaan elektrik (EV) pertamanya, Proton e.MAS 7.

Pelancaran rasmi yang berlangsung pada 5 Jun lalu di ibu negaranya, Port Of Spain itu disempurnakan oleh bahagian jualan antarabangsa Proton (ISD) bersama pengedar rasmi kenderaan berkenaan, ANSA Motors.

Kejayaan itu menjadikan Trinidad dan Tobago sebagai pasaran antarabangsa kedua bagi model EV tersebut selepas Nepal, tiga bulan lalu.

Bagi memenuhi keperluan pemilik EV yang semakin meningkat, ANSA Motors telah memperkenalkan bilik pameran EV baharu yang moden dan canggih di The City of Grand Bazaar.

Fasiliti terbaharu itu bakal menawarkan pengalaman menyeluruh kepada pelanggan untuk meneroka model EV, memahami teknologi EV serta menerima sokongan khusus.

Pengarah Bahagian Jualan Antarabangsa Proton, Edmund Lim Meng Thong berkata, pihaknya merancang untuk memperkenalkan model itu ke pasaran eksport tambahan seperti Mauritius dan Singapura pada akhir tahun ini.

“Perjalanan Proton bersama e.MAS 7 ke pasaran Trinidad merupakan titik penting bagi Proton.

“Ini mencerminkan komitmen kami untuk menerajui penerimaan EV di negara tersebut dan menunjukkan satu lagi langkah signifikan dalam pengembangan antarabangsa kami,” katanya dalam kenyataan.

Meneruskan kejayaan kemasukan Proton X50 dan Proton X90 ke pasaran Trinidad dan Tobago tahun lalu, pelancaran terbaharu ini mengukuhkan lagi usaha berterusan Proton dalam pengembangan global.

Sehingga kini, sebanyak 481 unit kenderaan Proton telah dieksport ke negara berpenduduk kira-kira 1.4 juta itu, termasuk 271 unit Proton X50, Proton X90 (141 unit) dan Proton Saga (44 unit).

Model-model berkenaan mendapat kepercayaan dan perhatian pembeli di pasaran Trinidad, seterusnya membuka peluang bagi pengenalan Proton e.MAS 7.

Proton e.MAS 7 yang ditawarkan dalam spesifikasi Premium di Trinidad dan Tobago, berstatus penarafan keselamatan ASEAN NCAP 5 bintang serta pecutan pantas 0-100 kilometer sejam (km/j) dalam hanya 7.1 saat.

Unit pemacu elektrik 12-dalam-1 mampu menghasilkan 160 kilowatt (kW) dan 320 Nm tork. Dikuasakan oleh sel bateri Aegis Short Blade yang canggih, bateri 60.22 kWh mampu mencapai jarak perjalanan WLTP sejauh 410km. – UTUSAN