KOTA BHARU: Penyelesaian masalah tunggakan gaji pemain Kelab Bola Sepak Kelantan Darul Naim (KDN FC) terutama yang beraksi di pentas Liga Super musim lalu mencapai antara sepuluh hingga 30 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDN FC, Datuk Mohd. Irwan Rizal Ali Napiah berkata, masalah pembayaran gaji tertunggak melibatkan pemain-pemain Liga Super musim lalu adalah untuk Februari, Mac dan April 2025 sahaja.
Menurutnya, bagaimanapun jumlah sebenar gaji tertunggak yang perlu diselesaikan tidak dapat dimaklumkan dan beliau sendiri enggan menyatakannya secara anggaran kerana melibatkan soal kewangan.
“Kita telah buat perjumpaan dengan pemain-pemain terlibat untuk penyelesaikan masalah tunggakan gaji. Malangnya pertemuan kali pertama sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha lalu berkesudahan dengan tidak ada kehadiran (pemain Liga Super musim lalu).
“Bagaimanapun untuk pertemuan kali kedua bermula hari ini (semalam) dilihat ada kehadiran pemain dan ada penyelesaian telah dibuat,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra KDN FC Bersama Kelab-Kelab Penyokong Kelantan di Jalan Pengkalan Chepa, di sini malam tadi.
Beliau berkata, setiap perjumpaan diatur melalui temu janji dan pihaknya tidak berputus asa untuk menyelesaikan masalah tersebut sungguhpun terdapat dalam kalangan pemain terlibat tidak menghadiri perjumpaan yang diaturkan.
Katanya, bermula semalam sesi perjumpaan dengan pemain-pemain Liga Super musim lalu yang terlibat di dalam masalah gaji tertunggak dilaksanakan secara lebih teratur. – UTUSAN