Buat usul tidak percaya atau tunggu pilihan raya

Politik

BATU KAWAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak menghalang penganjuran Himpunan Turun Anwar diadakan oleh pemimpin pembangkang kerana menghormati prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan, belum tentu beliau akan meletakkan jawatan hanya kerana perhimpunan atau tunjuk perasaan yang diadakan itu.

Katanya, kerajaan yang diterajuinya boleh bertukar jika usul hilang sokongan terhadap Perdana Menteri dibawa ke Parlimen.

“Tetapi perkara itu tidak berlaku buat masa ini kerana tidak ada sokongan diterima khususnya daripada kalangan Ahli Parlimen yang berkenaan,” katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 di pekarangan Stadium Batu Kawan di sini, semalam.

Menurut Anwar, mereka yang mahu menjatuhkan beliau sepatutnya tunggu pilihan raya umum akan datang tetapi kerana ada yang tidak sabar, mereka merancang mengadakan perhimpunan itu melalui tunjuk perasaan.

“Tunggu pilihan rayalah. Sebab apa? Sebab tak sabar. Kemudian, nak buat apa? Saudara-saudara ingat dengan tunjuk perasaan Perdana Menteri akan letak jawatan?

“Saya tak mahu halang Himpunan Turun Anwar kerana kita negeri demokrasi. Tetapi, atas alasan apa? Ia dibicara di mana-mana termasuk dalam kalangan orang berjubah. Tidak semua (orang berjubah) kerana banyak yang baik.

“Semalam, saya jumpa tok-tok guru. Ada dari Lebanon dari Syria, dari Indonesia dan dari Maghribi. Ada juga ulama di India, ulama-ulama terkemuka, jadi, bukan maknanya kita nak menolak (mereka),” katanya.

Kelmarin, polis mengingatkan peserta dan penganjur Himpunan Turun Anwar agar berhimpun secara  aman tanpa melakukan sebarang provokasi sehingga mencetuskan keadaan tidak aman.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, berdasarkan maklumat dan risikan cawangan khas, seramai 15,000 orang dijangka menyertai perhimpunan itu sekitar ibu negara pada 26 Julai ini.

Kerajaan sebelum ini menyatakan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung pe­nganjur perhimpunan yang tidak perlu memaklumkan polis untuk menganjurkan acara tersebut.-UTUSAN