LAS VEGAS: Walaupun telah bersara selama empat tahun, ikon tinju Filipina, Manny Pacquiao membuktikan beliau masih berbisa apabila berjaya mengikat juara bertahan, Mario Barrios dalam pertarungan sengit kelas welter WBC di MGM Grand Garden Arena, semalam.
Pertarungan selama 12 pusingan itu menyaksikan keputusan seri majoriti diumumkan, dengan seorang hakim memberikan mata 115-113 kepada Barrios manakala dua lagi menilai 114-114, sekali gus membolehkan petinju Amerika Syarikat itu kekal sebagai juara.
Pacquiao, 46, yang kembali ke gelanggang buat kali pertama sejak mengumumkan persaraan pada 2021, dilihat menguasai sebahagian besar pertarungan dengan ketangkasan dan pengalamannya selama tiga dekad dalam sukan itu.
Ada ketika, legenda tinju yang pernah memenangi gelaran dunia dalam lapan divisyen berbeza itu tampak seperti mampu menoktahkan kisah dongeng dengan satu lagi kejayaan luar biasa, namun Barrios bangkit di tiga pusingan terakhir untuk memastikan kejuaraan tidak terlepas dari genggamannya.
“Saya fikir saya memenangi pertarungan itu,.Ia perlawanan yang sengit. Lawan saya sangat sukar, tetapi saya tetap berpuas hati dengan aksi malam ini.
“Saya cuba mencari peluang untuk menamatkan pertarungan, tetapi Barrios banyak bertahan dan melancarkan serangan dalam kombinasi. Ia bukan tugas yang mudah,” kata Pacquiao selepas pertarungan
Sementara itu, Barrios, 30, yang mengakui teruja berkongsi gelanggang bersama legenda hidup itu, percaya beliau sudah melakukan cukup untuk mengekalkan tali pinggang kejuaraan.
“Saya rasa saya menariknya. Tetapi ini satu penghormatan besar buat saya. Pacquiao adalah seorang pejuang sejati yang masih berbisa walaupun usianya menghampiri separuh abad.
“Tenaganya luar biasa. Dia masih mempunyai kepantasan, kekuatan dan pergerakan yang sukar dibaca. Satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan,” katanya.
Kejayaan Pacquiao menyaingi juara bertahan yang jauh lebih muda meskipun selepas empat tahun berehat jelas membuktikan legenda Filipina itu belum hilang bisa, malah masih mampu memberi saingan kepada petinju terbaik dunia hari ini.-AGENSI