Roglic intai peluang emas

Sukan

MILAN: Ketiadaan Tadej Pogacar dalam perlumbaan Giro d’Italia 2025 membuka peluang keemasan buat Primoz Roglic untuk kembali menjulang gelaran Grand Tour yang keenam dalam kariernya.

Roglic yang berusia 35 tahun kini menjadi taruhan utama pasukan Red Bull-Bora-Hansgrohe, dikuatkan oleh dua pelumba handalan dari Australia Jai Hindley dan Dani Martínez selaku wakil Columbia yang pernah menaiki podium.

“Matlamat saya hanyalah untuk capai tahap terbaik diri saya. Keputusan nanti, biarlah ditentukan kemudian,” kata Roglic ketika ditanya mengenai musim perlumbaannya.

“Saya tidak tahu sejauh mana pantasnya pelumba lain, tapi bagi saya, apa yang boleh saya usahakan adalah menjadi Primoz yang terbaik… dalam hati saya masih rasa seperti berumur 20 tahun,” kata Roglic.

Kemenangan di Jelajah Catalonia pada Mac membuktikan Roglic masih berbisa apabila menewaskan pelumba tuan rumah, Juan Ayuso di pentas terakhir di Barcelona.

Ayuso yang juga rakan sepasukan Pogacar di UAE Team Emirates bakal menjadi pesaing utama dalam Giro kali ini selepas menjuarai Tirreno-Adriatico bulan lalu.

Giro 2025 akan menyaksikan kayuhan sejauh 3,413 kilometer (km) dengan pendakian setinggi 52,200 meter (m), menjadikannya antara edisi paling mencabar dalam sejarah perlumbaan itu.

Pendakian Colle delle Finestre di peringkat ke-20 yang hampir digugurkan akibat salji tebal kini disahkan selamat, sekali gus bakal menjadi penentu buat pelumba yang masih bertahan menjelang penamat di Rom. – AGENSI