FIA longgar peraturan mencarut pelumba F1

Sukan

LONDON: Pelumba Formula Satu (F1) kini tidak lagi akan terus dikenakan denda berat jika terlepas cakap ketika perlumbaan selepas Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengurangkan penalti bagi kesalahan mencarut.

Denda maksimum bagi kesalahan pertama dikurangkan kepada 5,000 Euro (RM25,300) berbanding 10,000 Euro (RM50,600) sebelum ini selepas pindaan terbaru terhadap Lampiran B Kod Sukan Antarabangsa diluluskan Majlis Sukan Permotoran Dunia FIA.

Presiden FIA Mohammed Ben Sulayem berkata, keputusan ini akan membantu steward (pegawai) membuat keputusan dengan lebih adil.

“Sebagai bekas pelumba rali, saya faham emosi yang dilalui atlet ketika bertanding. Penambahbaikan ini akan membantu para steward membuat keputusan yang adil selain mengekalkan semangat kesukanan yang tinggi dalam semua kejuaraan di bawah FIA,” kata Ben.

Dalam pindaan lain, para steward kini dibenarkan menggantung sepenuhnya hukuman jika ia melibatkan kesalahan pertama dan berlaku dalam ‘persekitaran tidak terkawal’ seperti atas trek atau ketika pentas rali.

Sebaliknya, jika pelumba mencarut dalam ‘persekitaran terkawal’ seperti sidang media, mereka masih boleh dikenakan tindakan bergantung kepada keadaan seperti insiden Carlos Sainz di Grand Prix (GP) Bahrain baru-baru ini.

Presiden Jawatankuasa Pemandu FIA, Ronan Morgan berkata perlakuan pelumba memang sangat penting dalam kalangan peminat muda dan mereka seharusnya memberi contoh yang baik.

“Pelumba adalah idola kepada peminat muda dan mereka juga duta sukan, jadi perlakuan mereka memang penting.

“Namun perlu difahami ada beza antara emosi semasa perlumbaan dan apa yang berlaku dalam sidang akhbar, dan perubahan hari ini beri ruang kepada steward untuk menilai sewajarnya,” kata Morgan. – AGENSI