PETALING JAYA: Pengendali Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali menaruh keyakinan tinggi kepada kemampuan pemain tempatan dan berharap enam pemain import baharu yang akan memperkuatkan cabaran pasukan dalam saingan Liga Super musim ini mampu memberi impak besar.
Berbanding musim lalu yang menyaksikan TFC menggunakan khidmat sembilan pemain import, kali ini Badrul memilih pendekatan lebih realistik dengan hanya mempertaruhkan enam import sambil berharap mereka mampu memberi impak positif bersama barisan pemain tempatan.
Menurutnya, jumlah yang lebih kecil itu memberi ruang kepada pasukan untuk membentuk keserasian lebih baik, di samping menekankan kepercayaan terhadap kemampuan pemain tempatan yang semakin menyerlah.
“Musim lepas kita ada sembilan import, tetapi kali ini hanya enam. Saya harap dengan jumlah itu, mereka dapat bantu TFC dengan lebih cemerlang.
“Sebelum ini, ada beberapa import yang kurang menyerlah, jadi saya mahu pastikan yang kali ini lebih berkualiti dan berkesan,” katanya.
Badrul turut menegaskan bahawa pemain tempatan tidak akan dipinggirkan, sebaliknya akan terus diberi kepercayaan untuk membuktikan kemampuan mereka di pentas tertinggi bola sepak tempatan.
“Pemain tempatan kami juga tidak boleh dipandang rendah. Saya akan terus beri peluang dan keyakinan kepada mereka kerana kejayaan pasukan bergantung kepada kesepaduan semua pemain, bukan hanya import,”jelasnya.
Setakat ini, lima pemain import TFC yang telah diumumkan ialah Nurillo Tukhtasinov (Uzbekistan), Junior Ngong Sam (Cameroon), Yan Mabella (Perancis), serta dua pemain dari Brazil, Gabriel Costa dan Raianderson da Costa Morais manakala seorang lagi pemain import masih belum didedahkan identitinya.
Dalam masa sama, Badrul mengakui pasukannya turut terkesan dengan kehilangan tonggak utama, Safawi Rasid, yang tidak lagi bersama pasukan musim ini namun beliau optimis pengganti seperti Akhyar Rashid dan pemain lain mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan.
“Selepas kehilangan Safawi, memang kami letakkan harapan pada Akhyar untuk memimpin jentera serangan. Saya juga mahu lihat pemain lain tunjukkan komitmen tinggi musim ini bagi membantu kelab tampil lebih konsisten,” ujarnya.-UTUSAN