JOHOR BAHRU: Semua UMNO Bahagian yang belum bersidang digesa membawa usul mendesak pelaksanaan tahanan rumah seperti terkandung dalam Titah Adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan segera.
Naib Pengerusi Veteran UMNO Johor, Datuk Adam Abdul Hamid berkata, ia merupakan usaha solidariti dan sokongan parti terhadap bekas presiden yang telah banyak berjasa.
Katanya, Veteran UMNO Johor yakin Najib layak diberikan layanan seadilnya mengikut lunas undang-undang negara.
“Veteran UMNO Johor menyokong penuh usaha mempertahankan maruah dan hak beliau. Kami seru kepimpinan dan akar umbi parti agar menyuarakan pendirian ini secara jelas melalui persidangan bahagian masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan mengadakan perbincangan bagi memberi penjelasan berhubung Titah Adendum melibatkan Najib.
Anwar berkata, beliau tidak boleh mendahului proses mahkamah kerana titah tersebut sudah dirujuk kepada badan kehakiman.
Sebelum ini, seramai 145 Ketua UMNO Bahagian mendesak kerajaan melaksanakan Titah Adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Pada 9 Julai lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan, tidak mempertikai kewujudan Titah Adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara dengan tahanan rumah.
Najib yang ditahan di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah menyeleweng RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. telah memfailkan petisyen bagi Pengampunan Diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya membuat keputusan mengurangkan tempoh penjaranya dari 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda juga dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – UTUSAN