Zahid sahkan akan jumpa Anwar

Politik

TAMPIN: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat bagi membincangkan mengenai harapan 160 orang ketua UMNO bahagian seluruh negara yang mahu perlaksaan berkaitan Titah Adendum.

Ahmad Zahid berkata, hasrat akar umbi UMNO ini cukup menjadi satu tanda manifestasi kegelisahan mereka dan keprihatinan mereka terhadap Datuk Seri Najib Dr Abdul Razak. 

“Saya akan menyampaikan hasrat ketua-ketua bahagian ini kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan mudah-mudahan beliau akan menggunakan budi bicara beliau sebagai Perdana Menteri.

“Ini bukanlah bermaksud campur tangan dalam soal mahkamah, tetapi bagi mengusahakan agar hasrat ketua-ketua UMNO bahagian ini dapat dipenuhi melalui tata kelola dan tata cara perundangan yang sedia ada dan disegerakan. 

“Insya Allah, secepat mungkin saya akan bertemu dengan Perdana Menteri, mungkin dalam tempoh sehari dua ini,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tampin 2025 di Dewan Perdana Tampin, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Seri Mohd Isam Mohd Isa.

Mengenai dakwaan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman bahawa desakan itu boleh menggugat kestabilan politik, Ahmad Zahid menegaskan tidak timbul isu berkenaan.

“Tidak timbul soal gangguan terhadap kestabilan politik. Fokus kita hanya kepada Titah Adendum, bukan perkara lain.

“Jadi saya harap siapa-siapa saja yang meragui perjumpaan itu harus sedar bahawa kita tidak berhasrat untuk mencabuli kestabilan politik yang sedia ada di negara kita,” katanya.

Tegasnya, perjumpaan 160 ketua bahagian itu bukan arahan parti pusat, sebaliknya inisiatif pemimpin akar umbi yang mahukan penyelesaian terhadap isu membabitkan Najib.

“Saya ketika itu berada di luar negara. Hasrat ini disampaikan oleh Datuk Seri Dr. Mohd Shafei Abdullah (Ketua UMNO Wangsa Maju) mewakili rakan-rakan bahagian dan permintaan itu tidak bertujuan mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong atau mencampuri tugas Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN