PETALING JAYA: Pemain skuasy veteran negara, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar merangkul gelaran keduanya, bulan ini, selepas menjuarai Terbuka Victoria di Melbourne, Australia, hari ini.
Addeen, 31, menewaskan rakan senegara, Nathan Kueh 11-2, 11-4, 8-11, 11-3 dalam masa 46 minit pada perlawanan akhir.
Ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir, Addeen berkata, dia gembira dan bangga dengan prestasi yang dipamerkannya, minggu ini.
“Lebih-lebih lagi kejayaan ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut yang saya catat pada kejohanan di luar negara,” katanya.
Addeen turut mengakui kini keyakinannya meningkat kembali selepas terpaksa berehat selama beberapa bulan akibat kecederaan bahu.
Minggu lalu, abang ipar kepada Aifa dan Aira Azman itu merangkul gelaran ketujuh dalam kariernya selepas menewaskan rakan senegara, Joachim Chua pada perlawanan akhir Terbuka Morrinsville di New Zealand.
Addeen yang kini menghuni ranking ke-95 terpaksa berehat selama lima bulan akibat ditimpa kecederaan bahu sebelum dia melakukan kemunculan semula pada Trofi Presiden di Seremban, Negeri Sembilan, bulan lepas.
Gara-gara kecederaan itu juga, ranking Addeen turut merudum dan terpaksa bangkit dengan menyertai kejohanan-kejohanan dalam Jelajah Cabaran PSA (Persatuan Skuasy Profesional) untuk mengumpul mata ranking.
Anak jati kelahiran Selangor itu pernah berada di ranking ke-61 dunia, sebelum ia menjunam jatuh. – UTUSAN