Dua lelaki menyamar polis disyaki rogol siswi dalam kereta

Politik

MELAKA: Dua peniaga trak makanan (food truck) direman tujuh hari selepas disyaki merogol seorang pelajar universiti dengan menyamar sebagai anggota polis, semalam.

Perintah reman sehingga 29 Mei ini dikeluarkan Majistret N. Sivashangari terhadap dua suspek lelaki masing-masing berusia 23 dan 29 tahun itu.

Sumber memaklumkan, ketika kejadian mangsa seorang pelajar universiti berusia 18 tahun sedang berdua-duaan dengan teman lelakinya dalam sebuah kereta di kawasan sunyi di Pantai Klebang sebelum didatangi suspek berusia 29 tahun yang menaiki motosikal.

“Suspek mengetuk cermin tingkap kereta dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum masuk ke dalam kenderaan tersebut. Lelaki itu kemudian menghubungi seorang lagi rakannya yang berusia 23 tahun dan tiba tidak lama kemudian dengan menaiki sebuah motosikal lain.

“Mereka menuduh pasangan itu melakukan hubungan seks dan mengugut perlu membayar RM3,000 jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang. Bagaimanapun, pasangan itu mendakwa tidak mempunyai wang,” katanya.

Sumber berkata, dua-dua suspek memaksa pasangan itu melakukan hubungan seks di tempat duduk belakang sambil salah seorang suspek memandu kereta tersebut.

“Suspek turut merakam aksi berkenaan menggunakan telefon bimbit. Sebaik tiba di sebuah kedai serbaneka yang mempunyai mesin pengeluaran wang automatik (ATM), suspek mengarahkan teman lelaki mangsa mengeluarkan duit.

“Gadis malang itu yang ditinggalkan bersama kedua suspek kemudiannya telah dirogol sebanyak dua kali oleh suspek berusia 29 tahun manakala rakannya bertindak meraba kemaluan mangsa,” katanya.

Tambah sumber, teman lelaki mangsa yang tidak mempunyai wang terpaksa meminjam RM50 dan mengeluarkannya di ATM sebelum menyerahkan kepada suspek.

“Suspek kemudian membawa pasangan itu ke Pantai Klebang untuk mengambil semula motosikal. Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Batang Tiga pada pukul 3 pagi tadi.

“Kedua-dua suspek masing-masing ditahan di Taman Rambai Utama dan Kampung Pulau Gadong. Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan rogol dan Seksyen 170 KK kerana menyamar sebagai penjawat awam.-UTUSAN