Eco-Shop sasar pertumbuhan 20 peratus tahun ini

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Pemain utama sektor runcit kedai harga tetap di Malaysia, Eco-Shop Marketing Berhad (Eco-Shop) menyasarkan pertumbuhan hasil sehingga 20 peratus tahun ini.

Ketua Pegawai Kewangannya, Chong Yew Kai berkata, pihaknya optimis mampu terus menyampaikan prestasi kukuh tahun ini, meskipun selepas melaksanakan pelarasan harga barangan daripada RM2.40 kepada RM2.60 baru-baru ini.

Ujarnya, pihaknya menyaksikan trend sama dari segi tingkah laku pengguna sebelum ini, sewaktu kali terakhir menaikkan harga jualan pada 2022.

“Baru sebulan harga dinaikkan dan kami masih lagi membuat pemantauan. Buat masa ini semuanya berjalan selari dengan jangkaan dan kami tidak melihat reaksi berbeza daripada pasaran.

“Sudah tentu ia masih lagi tempoh peralihan, menuju ke hadapan, kami masih melihat kepada prestasi kukuh bagi syarikat,” katanya pada sidang akhbar selepas penyenaraian Eco-Shop di di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad, di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Eco-Shop, Jessica Ng berkata, Malaysia kekal sebagai pasaran utama, walaupun syarikat tidak menolak kemungkinan meneroka pasaran luar Asia Tenggara seperti Eropah sekiranya peluang sesuai muncul kelak. 

“Malaysia masih mempunyai banyak potensi. Fokus kami adalah untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mendapat akses kepada produk berkualiti pada harga mampu milik,” katanya. 

Eco-Shop memulakan dagangan di Bursa Malaysia pada RM1.25, premium 12 sen iaitu 10.6 peratus lebih tinggi berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) RM1.13, melibatkan volum pembukaan sebanyak 25 juta saham. 

Saham kedai rantaian runcit itu kemudian turun kepada RM1.21 pada pukul 9.05 pagi, selepas hampir 50 juta saham bertukar tangan.

Sehari sebelum penyenaraian, Nomura dan UOB Kay Hian memulakan liputan di Eco-Shop dengan panggilan “beli” dan harga sasaran RM1.35 hingga RM1.45.

Hasil kasar berjumlah RM974 juta, yang terbesar sejak IPO pengendali pasar mini 99 Speed ​​Mart Retail Holdings Bhd memperoleh RM2.36 bilion pada Ogos 2024.

Debut Eco-Shop di pasaran utama hadir dalam suasana permintaan yang semakin meningkat untuk peruncitan berasaskan nilai, didorong oleh peralihan dalam tabiat pengguna dan tumpuan lebih tinggi pada kemampuan dan kemudahan. 

Dengan strategi perniagaan yang berbeza disokong oleh rekod prestasi pelaksanaan yang kukuh, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) Eco-Shop telah berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 156 peratus dalam tempoh tiga tahun kewangan lalu dari 2022 hingga 2024.

Syarikat baru-baru ini melaporkan pertumbuhan PATAMI sebanyak 36 peratus dalam tempoh sembilan bulan berakhir 28 Februari 2025. – UTUSAN