PETALING JAYA: Pembukaan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (PRDC) Proton di Hangzhou Bay, China, hasil kerjasama dengan Zhejiang Geely Holding Group (Geely) mempercepat kemajuan teknologi serta memperkukuh keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) syarikat.
Dalam tempoh setahun, pusat berkenaan berjaya memudah cara pemindahan teknologi yang memberi manfaat kepada semua model Proton, selain mewujudkan persekitaran dinamik bagi pertukaran pengetahuan dan inovasi.
PRDC mengamalkan sistem pembangunan produk baharu (NPDS) yang tersusun, meliputi semua fasa penting daripada perancangan strategi produk, penetapan reka bentuk hingga penilaian akhir data (FDJ), sekali gus memastikan penglibatan menyeluruh yang selari dan progresif.
Mengetuai kerja-kerja Elektrikal dan Elektronik (E&E) serta integrasi bagi projek baharu, Jurutera Kanan PRDC, Wan Fatin Nur Amira Wan Rusli berkata, penggunaan platform dan peralatan berteknologi tinggi telah mempercepatkan pembangunan model PROTON.
“Dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini, saya melihat bagaimana PRDC menyumbang kepada pembangunan generasi baharu kenderaan pintar PROTON menerusi integrasi teknologi E&E kenderaan yang canggih,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Jurutera Utama Kejuruteraan Prestasi PROTON, Muhammad Hafiz Zabidi berkata, kemajuan ketara telah dicapai dalam usaha meningkatkan karakter pemanduan model-model akan datang.
“Antara penambahbaikan termasuk, talaan casis dan sistem suspensi yang lebih sesuai untuk jalan raya di Malaysia, sistem brek lebih baik, tahap bunyi, gegaran dan kekasaran (NVH) lebih rendah serta penggunaan bahan api yang lebih efisien hasil ujian kejuruteraan lanjutan.
“Pusat R&D ini juga melakukan penanda aras dengan pesaing bagi memastikan daya saing PROTON serta menjanjikan pengalaman pemanduan lebih baik kepada pelanggan,” ujarnya.
Kerjasama antara PRDC dan Geely turut menyumbang kepada pembangunan model kenderaan elektrik (EV) pertama PROTON, Proton e.MAS 7 menerusi kemudahan makmal bateri, bangku ujian sistem janaan kuasa dan pusat pembangunan kenderaan pintar di Hangzhou Bay.
Sejak pelancarannya di Malaysia pada Disember lalu, Proton e.MAS 7 telah menjadi model EV paling laris di negara ini.
Melalui kerjasama itu juga, Geely memperoleh pemahaman lebih baik mengenai kehendak pelanggan tempatan, keadaan jalan raya dan peraturan kerajaan, hasil pengalaman PROTON membangunkan kenderaan untuk pasaran Malaysia dan ASEAN.
Selain itu, PROTON turut memainkan peranan sebagai rakan strategik Geely dalam menyesuaikan teknologi serta mengembangkan kehadirannya di rantau ini.
Pada masa hadapan, PROTON berhasrat memperkukuh pemahaman teknikal dan memperluaskan pasukan R&D di Malaysia menerusi program pertukaran, sejajar dengan keperluan untuk ujian dunia sebenar yang lebih menyeluruh.
Pusat ini dijangka memainkan peranan penting dalam mencorakkan masa depan PROTON, khususnya dalam seni bina E&E dan pembangunan EV, sekali gus mengukuhkan keupayaan inovasi bebas syarikat di Malaysia. – UTUSAN