Herry bengang Aaron-Khai Xing jadi mangsa ketidakadilan umpire

Sukan

KUALA LUMPUR: ‘Menang kalah biasa, tetapi kita harus bermain dengan adil.’

Tegas ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi selepas pasangan muda lelaki negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing dinafikan peluang kemenangan akibat keputusan kontroversi ketika bertemu beregu Denmark di pusingan kedua Malaysia Masters, kelmarin.

Herry meluahkan rasa kecewa apabila insiden berlaku sebanyak tiga kali, termasuk satu mata penting ketika Aaron-Khai Xing ketinggalan 13-14 dalam set penentuan, yang disifatkannya sebagai penghakiman tidak adil oleh umpire, Peter Meszaros dari Switzerland.

“Umpire itu saya rasa dia kurang adil. Dia kata bulu tangkis itu terkena telinga Aaron tetapi sebenarnya tidak kena. Kami sudah lihat rakaman ulang tayang tidak ada sentuhan berlaku.

“Saya kata (kepada umpire) ‘Awak memang tidak adil. Tiga kali awak buat keputusan sebaliknya.’ Kalau satu (keputusan sebaliknya) saya boleh terima tetapi tiga kali dan semuanya tidak benar. Jadi kita memang curiga (terhadap keputusan umpire),” kata Herry kepada pemberita selepas perlawanan kelmarin.

Pasangan ranking ke-58 dunia itu tewas kepada Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard 10-21, 26-24, 16-21, namun ramai melihat insiden mata ke-15 diberikan kepada beregu Denmark dalam set ketiga sebagai titik perubahan yang memusnahkan peluang Malaysia ke suku akhir.

Dalam masa yang sama, Herry juga bimbang kesan psikologi insiden itu terhadap beregu berusia 19 tahun itu, yang masih muda dan sedang membina keyakinan dalam arena antarabangsa.

“Ini anak muda, mental mereka boleh turun. Semoga nanti kita berkumpul dan berbincang dengan mereka supaya boleh menerima ini dengan hati lebih terbuka,” jelasnya

Jurulatih berpengalaman dari Indonesia itu juga menggesa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) supaya membuat bantahan rasmi kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi menuntut sistem pengadilan lebih adil dan seimbang antara Asia dan Eropah.

“Saya harap BWF melihat kesemua umpire dari Asia atau Eropah supaya lebih telus dan adil ketika perlawanan. Saya rasa ini lebih penting untuk masa hadapan,” ujarnya. – UTUSAN