Fahmi seru kepimpinan baharu perkukuh akar umbi hadapi PRU

Politik

JOHOR BAHRU: Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fahmi Fadzil menyeru barisan kepemimpinan yang baharu kembali fokus terhadap gerak kerja memperkukuhkan akar umbi bagi mendepani pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, keputusan Pemilihan PKR semalam merupakan satu amanah dan tanggungjawab berat yang perlu dipikul semua pihak.

“Saya dan rakan-rakan lain akan ambil masa untuk turun ke kawasan masing-masing, santuni anggota dan masyarakat. Kemudian kita gerakkan jentera ke peringkat akar umbi.

“Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah beri pesanan jelas, iaitu pemimpin perlu kukuhkan hubungan dengan anggota akar umbi, dengar suara mereka dan bantu kesukaran yang mereka hadapi,” katanya ketika ditemui usai Majlis Perasmian Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, malam tadi.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mengakui terharu dengan kepercayaan yang diberikan majoriti ahli parti terhadap dirinya bagi penggal kali ini.

“Sebanyak 4,811 undi yang diterima adalah satu jumlah yang besar dan keputusan itu amat mengejutkan. Pencapaian ini adalah amanah besar yang harus saya pikul bersama-sama dengan kepemimpinan baharu parti. Saya terkejut, tetapi dalam masa yang sama bersyukur diberi kepercayaan dan sokongan luar biasa.

“Ini bukan kemenangan peribadi, tetapi amanah besar yang saya dan barisan kepemimpinan baharu perlu galas dalam membawa parti ke tahap lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN