KUALA LUMPUR: Perjuangan Toh Ee Wei-Loh Bing Kun telah menemui titik noktah pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters, kelmarin dan bermula minggu depan dia bakal kembali ke pangkuan pasangan asalnya, Chen Tang Jie.
Pemain kelahiran Melaka itu akan menyambung perjuangannya bersama Tang Jie bermula di Terbuka Singapura yang berlangsung minggu depan, kemudian diikuti Terbuka Indonesia pada 3 hingga 8 Jun depan.
Mengulas mengenai gandingannya bersama Tang Jie yang bertaut kembali, Ee Wei berkata, dia lebih selesa membiarkan apa sahaja yang bakal berlaku selepas ini terjadi secara semula lagi.
“Yang itu (mengenai kembali ke pangkuan Tang Jie) kita tengok nanti dekat Terbuka Singapura,” katanya kepada pemberita selepas tersingkir pada pusingan kedua Malaysia Masters bergandingan dengan Bing Kun, kelmarin.
Ee Wei hanya sempat beraksi bersama Bing Kun dalam dua kejohanan iaitu Terbuka Taiwan dan Malaysia Masters.
Keputusan untuk kembali beraksi bersama diputus sendiri Ee Wei- Tang Jie tanpa campur tangan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang membiarkan kedua-dua pemain berkenaan memilih haluan yang mereka mahukan.
Ee Wei berkata, dia mengharapkan prestasi yang baik tahun ini, tetapi, masalah konsisten menjadi isu di dalam permainannya.
“Tahun ini ada juga saya bermain bagus, tetapi agak susah sikit kerana setiap kali sudah
mendahului tetapi masih tak dapat kemenangan,” katanya yang menghuni ranking No. 5 dunia bersama Tang Jie.
Ketika ditanya pula mengenai Bing Kun yang kehilangan rakan gandingan, kata Ee Wei, niat dia berpasangan dengan Bing Kun disebabkan potensi yang dimiliki rakan seperjuangannya itu.
“Saya memang hendak bantu dia supaya orang tahu dia. Bing Kun seorang pemain yang sangat rajin dan berdisiplin, saya harap pengalaman yang diraih ini dapat membantu meningkatkan lagi permainannya,” katanya.-UTUSAN