JOHOR BAHRU: Penarikan subsidi bahan api petrol bukan sahaja disasarkan kepada golongan maha kaya semata-mata, malah akan melibatkan kira-kira empat juta warga asing yang selama ini turut menerima ‘laba’ daripada peruntukan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelompok itu menikmati antara RM3 bilion hingga RM4 bilion setahun hasil daripada subsidi yang sepatutnya hanya dinikmati rakyat Malaysia.
Beliau berkata, mekanisme penyasaran subsidi bahan api yang bakal dilaksanakan kerajaan kelak mungkin akan menggunakan kad pengenalan (MyKad).
“Sebelum ini ada cadangan naikkan harga minimum bahan api, tetapi saya dan Jemaah Menteri tidak bersetuju. Sebaliknya, yang perlu dibuat adalah naikkan harga bahan api kepada warga asing.
“Mana ada negara di dunia yang memberikan subsidi bahan api kepada warga asing berkenderaan, kepada individu kaya yang memakai kenderaan Rolls-Royce. Oleh itu, saya minta rakyat jangan menolak usaha kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi bahan api, mungkin kad pengenalan boleh digunakan,” katanya dalam sesi penggulungan Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, hari ini.
Perdana Menteri turut memberi jaminan langkah itu tidak akan memberi kesan kepada majoriti rakyat, kecuali golongan disasarkan.
Anwar juga memuji pelaksanaan kadar gaji progresif serta Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi penjawat awam yang telah membantu meningkatkan imej dan penerimaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.
“Kajian yang dibuat terhadap kira-kira 1.4 juta penjawat awam menunjukkan ada peningkatan sokongan terhadap kerajaan dalam kalangan penjawat awam, termasuk polis dan tentera.
“Jika jumlah 1.4 juta itu didarab dengan tiga, maka sejumlah besar masyarakat Melayu sudah beralih dengan mempunyai pandangan positif terhadap kerajaan hari ini. Tahniah saya ucapkan kerana mereka melihat perkara ini daripada sudut positif,” katanya.
Tambah Anwar, pelaksanaan sistem e-Invois akan ditambah baik bagi mengurangkan beban yang mungkin dihadapi syarikat dan peniaga kecil.
“Pelaksanaan sistem e-Invois sangat penting untuk elak kebocoran dan kehilangan hasil negara, tetapi kepada syarikat kecil ia mungkin membebankan. Insya-Allah, kita akan baiki pelaksanaannya agar tidak membebankan golongan tersebut,” katanya. – UTUSAN