JOHOR BAHRU: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baharu, Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan ayahnya seorang, tetapi ayah kepada semua ahli parti, termasuk Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli.
Justeru, Nurul Izzah berharap, semua ahli PKR tidak melihat hubungan kekeluargaan antara mereka sebagai faktor yang membezakan dirinya dengan ahli lain.
“Saya hadir kongres hari ini dengan perasaan bercampur-baur, perasaan saya seolah-olah ditelan mati emak, diluah mati bapa. Anwar bukan ayah saya seorang, tetapi ayah kepada Rafizi dan kami semua yang buat keputusan menyertai PKR atas dasar cintakan perjuangan dan idealisme dibawa parti ini.
“Mungkin ada segelintir pihak yang sertai PKR kerana berasakan ada peluang mendapatkan pengaruh dan kuasa, tetapi majoriti sertai ketika kita tiada apa-apa kerana mereka sayangkan Anwar dan hormat, seolah-olah ayah mereka sendiri,” katanya dalam sesi penggulungan Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut berharap, barisan kepemimpinan baharu termasuk di peringkat akar umbi tidak mengetepikan ahli yang tidak memberi sokongan kepada mereka dalam pemilihan lalu.
“Jangan ketika ada pihak yang menang dan bangun, ada pihak yang mahu runtuhkan. Pemenang kena libatkan perwakilan cabang dan ranting walaupun mereka tidak beri sokongan.
“Kita perlu ingat, tanpa mereka, PKR akan kehilangan satu pertiga undi dalam pilihan raya akan datang,” katanya. – UTUSAN