KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah mengemukakan aduan rasmi bertulis kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhubung beberapa keputusan pengadil sewaktu perlawanan antara beregu muda negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai menentang pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard pada pusingan kedua Malaysia Masters 2025, Khamis lalu.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan BAM hari ini, terdapat sekurang-kurangnya tiga keputusan yang dibuat pengadil pada detik penting dalam pertemuan tersebut dipercayai mampu memberi impak besar kepada keputusan keseluruhan perlawanan dan juga mutu pengadilan.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata walaupun pihaknya menghormati peranan yang dimainkan oleh pegawai teknikal dalam memastikan kelancaran pertandingan, tetapi BWF diharap dapat melakukan semakan secara menyeluruh terhadap kualiti piawaian pengadil.
“Keadilan dan integriti mesti dijunjung tinggi dalam setiap perlawanan. Keputusan-keputusan yang dibuat oleh pengadil jelas tidak tepat dan telah menafikan peluang pemain kita untuk bertanding secara adil.
“Pengadilan sebegini bukan sahaja menjejaskan keputusan perlawanan, malah, mencalar kredibiliti sukan badminton itu sendiri,” kata Kenny dalam kenyataan BAM, hari ini.
Dalam aksi pusingan kedua di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Khamis, beregu Malaysia yang merupakan juara remaja dunia tahun lalu terpaksa menelan hakikat yang cukup pahit apabila kalah kepada Kjaer-Sogaard 10-21, 26-24, 16-21 dengan cara yang tidak adil oleh pengadil dari Switzerland, Peter Meszaros.
Kenyataan itu juga berkata, BAM turut menyerahkan bukti rakaman video serta dokumentasi perlawanan secara terperinci untuk penelitian segera BWF.
Sebagai badan induk sukan badminton negara, BAM kekal komited dalam memelihara semangat kesukanan dan profesionalisme, serta menggesa BWF agar mengambil tindakan segera, telus dan tegas bagi menangani isu tersebut agar kejadian seumpama itu tidak berulang pada kejohanan akan datang.
Sebelum ini, ketua jurulatih beregu lelaki Malaysia, Herry Iman Pierngadi meluahkan rasa kecewa terhadap mutu pengadilan yang menjejaskan peluang beregu bimbingannya.
“Menang kalah biasa, tetapi kita harus bermain dengan adil. Pengadil itu saya rasa dia kurang adil. Dia kata bulu tangkis terkena telinga Aaron, tetapi, sebenarnya tidak kena, kami sudah lihat rakaman ulang tayang tidak ada sentuhan berlaku,” kata Herry. – UTUSAN