KUALA LUMPUR: Himpunan Melayu Berdaulat yang dihadiri kira-kira 800 peserta di hadapan pusat beli-belah Sogo di sini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, 80 anggota ditugaskan bagi memantau keselamatan sepanjang himpunan itu berlangsung.
“Tiada sebarang kejadian tidak diingini direkodkan sepanjang perhimpunan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, polis akan meneliti terlebih dahulu sama ada siasatan akan dijalankan terhadap penganjur himpunan terbabit.
Mengenai kandungan ucapan yang disampaikan semasa program, beliau menjelaskan tiada unsur berkaitan 3R (kaum, agama dan raja) dikenal pasti setakat ini.
“Tiada isu 3R dibangkitkan. Ia lebih tertumpu kepada isu berkaitan orang Melayu.
“Namun, siasatan akan dilakukan sekiranya ada laporan polis diterima,” jelasnya. – UTUSAN