Sze Fei-Izzuddin bakal dimahkotakan beregu No. 1 dunia

Sukan

KUALA LUMPUR: Selepas lapan tahun berlalu, akhirnya muncul beregu lelaki Malaysia yang berjaya merampas kedudukan No. 1 dunia, berikutan pasangan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani berbuat demikian sebaik Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengemas kini ranking, esok (Isnin).

Kali terakhir beregu Malaysia bergelar No. 1 dunia adalah menerusi Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang dilakukan mereka pada November 2016 hingga Mac 2017.

Pada ketika ini, gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen menghuni kedudukan teratas tersebut, tetapi, pasangan veteran itu yang gagal mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2025 menyebabkan mereka kehilangan mata ranking yang agak banyak.

Keadaan itu berlaku disebabkan Astrup-Ramussen merupakan juara bertahan Malaysia Masters 2024 dan keagagalan mara ke final menyebabkan mereka kehilangan banyak mata.

Bagi Sze Fei-Izzuddin pula, beregu No. 2 dunia itu mara sehingga ke suku akhir dan tersingkir di peringkat tersebut selepas tewas kepada rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Ini bermakna mereka mengulangi pencapaian sama di Malaysia Masters yang tidak mengakibatkan Sze Fei-Izzuddin kehilangan mata seperti yang berlaku kepada Astrup-Rasmussen.

Kiraan mata yang sedemikian telah membuka laluan kepada Sze Fei-Izzuddin merampas kedudukan No. 1 dunia di dalam sistem ranking BWF.

Sze Fei-Izzuddin dijangka mengekalkan kutipan 91,090 mata keseluruhan untuk merampas kedudukan No. 1 dunia, manakala, Astrup-Rasmussen yang tewas kepada Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada separuh akhir akan kehilangan mata dan hanya mengumpul 90,411 mata.

Berdasarkan pengiraan mata ranking BWF, Astrup-Rasmussen telahpun kehilangan 9,200 mata kerana gagal mempertahankan gelaran dan hanya meraih 6,420 mata selepas menamatkan saingan selaku empat beregu terbaik.

Selain Sze Fei-Izzuddin dan V Shem-Wee Kiong, antara beregu lelaki Malaysia yang pernah bergelar No. 1 dunia adalah Datuk Razif Sidek- Datuk Seri Jalani Sidek, Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang, Soon Kit-Yap Kim Hock, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Bagi Sze Fei-Izzuddin pula, mereka layak berada di ranking No.1 dunia selepas beraksi cemerlang pada musim lalu dengan muncul juara pada Terbuka Jepun, Terbuka China, Terbuka Arctic dan Terbuka India.-UTUSAN