BERMULA dengan menjual kerongsang dan berjinak-jinak menjual cadar dari Korea pada 2004, bekas pegawai sistem maklumat, Kementerian Pendidikan, Hartini Bani, 48 meneroka perniagaan bidang hiasan dalaman dan kini, mengorak langkah dalam penjualan set hamper bagi korporat dan pelbagai majlis.
Lebih membanggakan, Pengusaha Be Dazzled Collection itu berkata, pada musim perayan Aidilfitri lalu mampu menjual sehingga 7,000 set hamper.
“Ketika saya mengikuti suami, Azwan Mahmud, 50 melanjutkan pelajaran pada peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di United Kingdom (UK) pada 2009, saya mula serius menjalankan perniagaan hiasan dalaman termasuk pinggan mangkuk jenama terkenal luar negara.
“Dari situ, saya melihat perniagaan ini menerima sambutan baik dari pelanggan. Jadi, saya mula melihat peluang menjual hiasan dapur dari luar negara seperti Potmeirian, walaupun agak mahal, saya mendapat tempahan yang agak baik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Jelas Hartini, pada 2015 beliau dan suami pulang ke Malaysia dan menjalankan perniagaan secara serius.
“Saya mula menjadikan rumah sebagai ‘showroom’ dan pada ketika itu, saya terfikir untuk mendapatkan sebuah kedai untuk mempamerkan barangan jualan saya dan pada 2019 saya berpindah ke kedai ini di Seri Bangi,” katanya.
Tidak terhenti di situ, selepas mempunyai sebuah kedai jualan hamper dan hiasan dalaman, jenama Be Dazzled Collection mula dikenali ramai sehingga menerima tempahan yang luar biasa pada musim perayaan.
“Saya menjual hamper dengan harga antara RM15 hingga RM600 dan menjual set hamper lebih 30 jenis untuk perkahwinan, aqiqah, korporat dan pelbagai majlis.
“Kebanyakan barangan tersebut saya ambil dari China, Indonesia dan beberapa negara lain,” katanya.
Hartini memaklumkan, dia dan kakitangan sering melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan hamper yang dijual memenuhi kehendak pelanggan.
“Kami sentiasa melakukan R&D kepada set hamper yang dijual untuk menjaga kualiti hamper syarikat kami menjadi pilihan,” katanya.
Dalam pada itu, Hartini juga mengambil peluang mengetengahkan produk keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam hamper yang dijual.
“Saya menggunakan produk PKS termasuk membeli produk makanan dari peniaga dodol, biskut termasuk dari Kedah dan Kelantan untuk diletakkan dalam hamper,” katanya turut mendapat perhatian pelanggan dari Brunei dan Singapura.
Hartini berkata, pihaknya turut menerima tempahan korporat dari pelbagai syarikat terkemuka di negara ini.
“Kebanyakan syarikat korporat membuat tempahan sempena Hari Raya, Tahun Baharu Cina dan Deepavali,” katanya.
Hartini turut menasihatkan usahawan lain agar untuk menjalankan perniagaan dan memenuhi kehendak pelanggan.
“Sebagai usahawan hamper, kita kena sentiasa kreatif dan memberi hasil yang terbaik kepada pelanggan. Jangan takut untuk mencuba,” katanya.-UTUSAN