LUSH Malaysia, MareCet bekerjasama pulihara dugong di Pulau Sibu

Perniagaan

MERSING: LUSH Malaysia sekali lagi mencuri tumpuan menerusi kehadiran jenama ini di perairan gugusan Pulau Sibu, Johor.

Susulan kejayaan ekspedisi marin di Langkawi baru-baru ini, LUSH Malaysia kembali bekerjasama dengan MareCet, organisasi terkemuka dalam penyelidikan dan pemuliharaan mamalia marin di Malaysia, dalam satu kembara unik berteraskan aktiviti pemuliharaan — Marine Explorer di Pulau Sibu, Johor.

Ekspedisi selama tiga hari ini membawa para peserta ekspedisi menelusuri keindahan semula jadi gugusan kepulauan Pulau Sibu.

Jauh dari jejak pelancongan yang lazim menjadi laluan pengunjung, ekspedisi Marine Explorer di Pulau Sibu menawarkan pengembaraan sebenar lagi nyata dalam meneroka salah satu kawasan perlindungan marin yang tersembunyi di Malaysia.

Perjalanan berkaki ayam, ditemani bayu laut serta malam yang tenang lagi hening, berlangsung dengan latar belakang indah laluan batuan gunung berapi, pantai dihiasi terumbu karang dan air laut dengan kilauan hijau
zamrud yang mempesona di kepulauan Sibu.

Berlainan daripada inisiatif di Langkawi yang menumpukan kepada aktiviti meninjau ikan lumba- lumba dan bengkel ekologi, ekspedisi kali ini membawa peserta untuk mendekati kehidupan marin dan manusia.

Kawasan terpencil ini merupakan habitat kepada salah satu populasi dugong terakhir di negara ini yang bergantung kepada kawasan rumput laut sebagai padang ragut, sementara, pulau ini sendiri dihuni kurang daripada 200 orang penduduk.

Suasana ini memberikan gambaran unik kepada kehidupan kampung yang tenang. Penduduknya tidak menghayati kelestarian sebagai trend, sebaliknya ia merupakan norma kehidupan yang berharmoni dengan laut sejak azali lagi.

“Berbeza daripada inisiatif lazim kami yang diketahui ramai seperti aktiviti penanaman terumbu karang, ekspedisi kali ini diharap dapat mendidik peserta yang terlibat mengenai usaha pemuliharaan dugong, serta  peningkatkan kesedaran mereka tentang pemuliharaan marin melalui platform LUSH Malaysia.

“Kami juga berharap untuk memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia agar komited terhadap pemuliharaan marin, melindungi keindahan alam dan hidupan liar yang menjadi warisan kita. Komitmen ini merangkumi usaha mengurangkan penghasilan sisa, menyokong usaha pemuliharaan dan mengamalkan gaya hidup lestari seperti membeli produk ‘naked’ (tanpa bungkusan) dan aktiviti kitar semula dengan cara yang betul — semua ini
penting demi menjaga ekosistem marin negara, sekali gus memastikan kita akan mewariskan dunia yang lebih subur untuk generasi akan datang,” kata Pengarah LUSH Malaysia, Dr Harvinder Harchand.

“Marine Explorer ialah cara kami menghubungkan orang ramai dengan kehidupan marin Malaysia melalui pengalaman secara langsung tetapi berimpak rendah yang mampu memupuk keinginan untuk terlibat dalam aktiviti pemuliharaan. Kehadiran LUSH Malaysia sebagai rakan kongsi yang sealiran, membantu kami memperluaskan mesej ini dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk melindungi lautan kita,” kata Pengarah Eksekutif dan Pengasas Bersama MareCet, Dr Louisa Ponnampalam.

Pada asasnya, Marine Explorer bukan sekadar usaha pemuliharaan semata-mata. Ia lambang kepada pertautan jiwa jangka panjang dengan bumi, dengan lautan, dan dengan cara hidup yang lebih bermakna dan cakna kepada alam sekitar.  – UTUSAN