PETALING JAYA: Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank) memeterai perjanjian pembiayaan penting dengan Duta Marine Sdn Bhd untuk projek penyimpanan dan pemindahan apungan (FSO) Permata Dulang.
Ini menandakan transaksi bersama pertama mereka selepas penggabungan, mencerminkan sinergi yang diperkukuh dan hala tuju strategik yang bersatu dalam kumpulan.
Pembiayaan tersebut menyokong penukaran kapal tangki minyak kepada FSO.
Unit baharu itu akan menggantikan FSO Puteri Dulang yang sudah tua, memastikan operasi berterusan di Padang Dulang iaitu salah satu tapak pengeluaran luar pesisir Malaysia yang paling lama beroperasi.
Struktur kemudahan itu menyaksikan BPMB memperuntukkan pembiayaan bernilai RM555 juta manakala EXIM Bank menyumbang AS$37 juta dalam kemudahan Islam, untuk menyokong pembelian kapal tangki minyak, pengubahsuaian dan mobilisasi.
EXIM Bank juga bertindak sebagai pengatur eksklusif untuk perjanjian piagam Duta Marine dengan Petronas Carigali Sdn Bhd, mencerminkan peranannya dalam menstruktur penyelesaian pembiayaan strategik.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Datuk Muzaffar Hisham berkata, projek itu mewakili intipati tujuan kumulan dalam menyampaikan modal impak untuk pembangunan negara/
“Ia juga menunjukkan kuasa sinergi dalam Kumpulan BPMB, di mana gabungan kepakaran dan tumpuan membolehkan kami menyokong inspirasi negara berimpak tinggi sambil memperkasa pemain Bumiputera yang berkebolehan,” katanya dalam kenyataan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank, Nurbayu Kassim Chang berkata, usaha ini mempamerkan kekuatan pendekatan bersepadu Kumpulan BPMB, membawa bersama
keupayaan pelengkap untuk mengukuhkan sektor minyak dan gas Malaysia.
“Selain itu, usaha ini dapat meningkatkan penyertaan tempatan dan membolehkan perusahaan tempatan berkembang maju di peringkat global,” katanya.
Projek ini dijangka akan mewujudkan pekerjaan semasa kedua-dua fasa penukaran dan operasi sambil memastikan rantaian bekalan tidak terganggu untuk eksport minyak dan gas Malaysia.
Seterusnya, projek ini akan menjana kesan limpahan ekonomi kepada kawasan pertumbuhan utama seperti Terengganu dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam sektor tenaga global. – UTUSAN