Elridge Energy catat untung RM13.58 juta pada suku pertama

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Elridge Energy Holdings Berhad (Elridge Energy) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM13.58 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025.

Kumpulan turut mencatatkan hasil sebanyak RM109.67 juta dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM18.03 juta.

Pendapatan dan keuntungan tersebut sebahagian besarnya disumbangkan oleh pelanggan dari Jepun, Indonesia dan Malaysia.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Elridge Energy, Oliver Yeo berkata, prestasi suku pertama tersebut mencerminkan permintaan yang kukuh dan semakin meningkat terhadap produk bahan api biojisim mampan di pasaran antarabangsa.

“Kami berbangga dapat mengekalkan momentum selepas penyenaraian dan mencatat pertumbuhan pendapatan yang sihat selaras dengan halatuju strategik kami,” katanya dalam kenyataan.

Memandangkan kumpulan itu hanya disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada Ogos 2024, tiada laporan kewangan interim disediakan bagi suku yang sama tahun sebelumnya dan oleh itu, tiada perbandingan angka tersedia.

Sementara itu, Tempurung Isirung Sawit (PKS) kekal sebagai tunjang utama operasi kumpulan, menyumbang RM95.81 juta atau 87.36 peratus daripada jumlah hasil, manakala baki RM13.87 juta atau 12.64 peratus pula diperoleh daripada aktiviti perdagangan dan pembuatan pelet kayu.

Menurut Coherent Market Insights, industri PKS di Asia Pasifik dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 8.9 peratus daripada AS$308.6 juta (RM1.4 bilion) pada 2024 kepada AS$366.1 juta (RM1.7 bilion) menjelang 2026.

Pasaran pelet kayu di rantau ini juga dijangka berkembang pada CAGR 8.6 peratus, mencecah AS$12.5 bilion (RM57.1 bilion) pada 2026 berbanding AS$10.6 bilion (RM48.4 bilion) pada 2024.

Oliver berkata, bagi menyokong pertumbuhan pasaran ini, kumpulan sedang melaksanakan pelan pengembangan dengan pembangunan tapak pembuatan baharu di Pasir Gudang, Kuantan dan Lahad Datu.

“Setiap fasiliti ini akan menempatkan dua barisan pengeluaran PKS dengan jumlah kapasiti tahunan 240,000 tan metrik bagi setiap tapak.

“Pengembangan kapasiti ini akan meningkatkan keupayaan kami untuk mendapatkan kontrak eksport jangka panjang serta mengukuhkan kedudukan kami dalam rantaian bekalan biojisim serantau,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak RM68.14 juta daripada hasil Tawaran Awam Permulaan (IPO) kumpulan telah diperuntukkan bagi projek-projek tersebut.

“Pelaburan ini merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang Elridge Energy untuk merebut peluang daripada permintaan global yang semakin meningkat terhadap bahan api biojisim serta menyumbang kepada usaha dekarbonisasi dalam sektor tenaga dan perindustrian.

“Selain itu, dengan strategi fokus, kewangan kukuh dan permintaan global yang meningkat, Elridge Energy berada pada landasan tepat untuk menjana nilai mampan kepada pemegang saham dan menyokong peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui,” ujarnya. – UTUSAN