RM5.6 juta untuk sukan permotoran

Sukan

PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan pihaknya tidak meminggirkan sukan permotoran sebaliknya sentiasa berusaha dan komited untuk membangunkan sukan tersebut.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata walaupun fokus utama lebih tertumpu kepada temasya seperti Sukan Olimpik namun KBS tetap memberi tumpuan kepada sukan permotoran apabila sebanyak RM5.6 juta dana telah diperuntukkan pada tahun ini.

“Ya, KBS fokus pada Sukan Olimpik tetapi kita sekarang mempunyai 103 sukan yang telah digazetkan dan permotoran salah satu daripadanya. Oleh itu, kami mempunyai bajet untuk sukan permotoran tetapi dalam gambaran yang lebih besar, ia tidak mencukupi.

“Jadi untuk tahun ini, kami memberikan keseluruhan RM5.6 juta untuk permotoran. RM1.9 juta untuk Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) dan kemudian kepada agensi kami, Jabatan Belia dan Sukan Negeri, RM450,000.

“Kemudian kepada kelab dan persatuan di peringkat negeri, RM3.2 juta,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian CIMB Group Holdings Berhad bersama pelumba muda negara, Amer Harris Jefry di sini hari ini.

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian di antara pelumba muda negara, Amer Harris Jefry (duduk kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB MY, Gurdip Singh Sidhu, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hannah berkata kementeriannya turut menyediakan bantuan dana iaitu Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) kepada mana-mana atlet untuk menampung perbelanjaan mereka ketika menyertai kejohanan.

“KBS telah membenarkan atlet (secara) individu untuk memohonnya yang sebelum ini ia hanya dimohon oleh persatuan.

“Saya fikir bermula tahun lalu, atlet yang menyertai kejohanan, mereka boleh memohonnya dan KBS akan memberi geran kecil untuk menampung perbelanjaan mereka,” katanya. – UTUSAN