PETALING JAYA: Ketua Pegawai Penjenamaan Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (Pro-Net), Salawati Mohd. Yusoff menerima pengiktirafan menerusi Anugerah CMO Malaysia 2024 yang dianjurkan oleh MARKETING Magazine Asia.
Anugerah berprestij itu diberikan kepada pemimpin pemasaran yang bukan sahaja membina jenama, tetapi turut memainkan peranan penting dalam pertumbuhan, transformasi, dan hala tuju strategik jangka panjang sesebuah organisasi.
Salawati berkata, penjenamaan bukan sekadar logo atau slogan, namun ia mengenai membina hubungan yang erat dan bermakna kepada orang ramai.
“Saya dengan rasa rendah hati menerima pengiktirafan ini dan berterima kasih kerana diberi peluang dalam membentuk pengalaman rakyat Malaysia terhadap jenama kami.
“Saya juga amat bertuah kerana dikelilingi oleh pasukan yang penuh semangat dan komited terhadap visi yang sama,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas mengenai pengiktirafan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, pengiktirafan tersebut merupakan detik yang membanggakan.
“Dedikasi dan kepimpinan Salawati telah memainkan peranan penting dalam membentuk cara rakyat Malaysia melihat dan menerima jenama kami hari ini.
“Dalam usaha kami untuk terus berkembang dan menerajui industri EV, pencapaian ini mengingatkan kami bahawa membina jenama yang kukuh adalah satu perjalanan yang melibatkan seluruh pasukan.
“Pencapaian ini mengukuhkan peranan Pro-Net sebagai peneraju dalam memacu perkembangan kenderaan elektrik dan masa depan automotif yang lestari di Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, model smart #1 tersenarai antara tiga teratas SUV elektrik dengan harga melebihi RM180,000, manakala smart #3 mendapat pujian pengiktirafan dalam industri.
Antara anugerah yang diterima termasuk EV Kompak Premium Terbaik di Car of the Year (COTY) 2024, Crossover atau SUV Elektrik Mewah Pacuan Empat Roda Kompak Terbaik oleh Anugerah Editor’s Choice Star Carsifu, serta dua pengiktirafan daripada MARii iaitu Kereta Terbaik dan Crossover Terbaik (Bawah RM200,000),
Selain pengiktirafan di peringkat tempatan, pencapaian Pro-Net turut mendapat perhatian di pentas antarabangsa, Best Overseas Pioneer Partner oleh smart Automobile. – UTUSAN