PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Manchester United, Omar Berrada dan pengendalinya, Ruben Amorim, hari ini
The Red Devils berada di ibu negara dalam siri jelajah pra musim dan akan berdepan pasukan ASEAN All-Stars dalam aksi Piala Cabaran 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam esok.
Anwar menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan pertemuan berkenaan turut dihadiri pemain dan pengurusan pasukan ASEAN All-Stars yang diketuai ketua jurulatih, Kim Sang Sik.
“Saya ucapkan selamat berentap buat kedua-dua pasukan yang akan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil. Saya masih berfikir nak sokong siapa malam esok,” kata Anwar.
Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Selepas aksi menentang ASEAN All-Star, skuad kendalian Amorim akan terbang ke Hong Kong untuk berdepan skuad kebangsaan negara itu pada Jumaat.-UTUSAN