Alliance Bank catat prestasi kukuh bagi tahun kewangan 2025

Perniagaan

PETALING JAYA: Alliance Bank Malaysia Bhd, melaporkan keuntungan bersihnya meningkat 11 peratus bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2025 berbanding tempoh sama tahun lalu didorong pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi dan peruntukan yang lebih rendah.

Keuntungan bersih bagi suku dikaji berjumlah RM197.49 juta, pendapatan faedah bersih (NII) meningkat 11 peratus daripada pertumbuhan pinjaman manakala pendapatan bukan faedah (NOII) jatuh 3.5 peratus disebabkan oleh pengurusan kekayaan, perbendaharaan dan keputusan pelaburan yang lebih lemah.

Elaun untuk potensi pinjaman lapuk dan kerugian dalam pelaburan kedua-duanya merosot pada suku tersebut.

Alliance Bank mencadangkan dividen interim kedua sebanyak 9.9 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen untuk tahun kewangan 2025 kepada 19.4 sen sesaham, diterjemahkan kepada 40 peratus jumlah nisbah pembayaran dividen, atau pengagihan sebanyak RM300.3 juta.

Untuk setahun penuh 2025, hasil meningkat 12.3 peratus tahun ke tahun kepada RM2.3 bilion, manakala keuntungan bersih meningkat 8.7 peratus kepada RM750.7 juta.

NII meningkat 13.2 peratus tahun ke tahun kepada RM1.95 bilion, didorong terutamanya oleh volum pinjaman yang lebih tinggi, manakala margin faedah bersih kekal pada 2.45 peratus.

NOII meningkat 7.7 peratus kepada RM323.4 juta, terutamanya disebabkan oleh jualan pertukaran asing dan yuran perdagangan yang lebih tinggi, pendapatan pengurusan kekayaan.

Alliance Bank berkata, jumlah pinjaman kasar berkembang 12 peratus tahun ke tahun pada tahun dalam tinjauan kepada RM62.4 bilion, lebih dua kali ganda pertumbuhan industri sebanyak 5.2 peratus.

“Pertumbuhan adalah berasaskan luas merentas semua segmen, dengan segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencatatkan 10.6 peratus, komersial (15.8 peratus), korporat (8.4 peratus) dan pengguna (12.6 peratus).

“Nisbah akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) kekal antara tertinggi dalam industri pada 41 peratus, disokong oleh peningkatan 14.7 peratus tahun ke tahun dalam deposit pelanggan,” katanya.

Bank mengekalkan kedudukan modal dan mudah tunai yang teguh, dengan nisbah ekuiti biasa Tahap 1 (CET1) sebanyak 12.2 peratus, nisbah modal Tahap 1 (13.4 peratus) dan nisbah jumlah modal (16.7 peratus)..

Nisbah liputan kecairannya adalah pada 171.6 peratus, dan nisbah pinjaman kepada dana adalah pada 85.6 peratus.

Kos kredit bersih, termasuk peruntukan awal, adalah 31.9 mata asas. Nisbah CET1 bank itu dijangka diperkukuh berikutan cadangan terbitan hak pada Julai untuk mengumpul RM600 juta modal baharu, yang masih tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan kawal selia. – UTUSAN