KOTA BHARU: Kelab Bola Sepak Kelantan Darul Naim (KDN FC) akan menanggung sepenuhnya kos pemasangan papan markah baharu di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini dianggarkan bernilai hingga RM4 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhammad berkata, hasil perbincangan KDN FC telah bersetuju untuk membawa masuk pelabur termasuk menukar papan markah sedia ada kepada berteknologi baharu.
“Alhamdulillah, perkara itu sudah memasuki peringkat untuk memuktamadkan kerjasama.
“Secara asasnya pihak pelabur bersetuju menggantikan papan pemarkahan sedia ada dengan yang baharu,” katanya selepas Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) Pembangunan Dasar dan Polisi Sukan Mesra Islam Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Zamakhsari memberitahu, kerajaan negeri bagaimanapun akan mewujudkan beberapa terma bagi memastikan perjanjian itu bersifat menang-menang.
Katanya, melalui perjanjian itu pelabur akan menanggung sepenuhnya kos pemasangan dijangka menelan belanja antara RM3 juta hingga RM4 juta.
“Kita tidak diberitahu punca sebenar kerosakan papan pemarkahan sedia ada. Hanya dimaklumkan ia merupakan kerosakan lama dan penyelenggaraannya di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Bagaimanapun, kita diberitahu papan pemarkahan sedia ada masih menggunakan teknologi lama dan selepas ini pihak pelabur akan memasang papan pemarkahan berteknologi baharu di Stadium Sultan Muhammad IV,” katanya.
Zamakhshari memberitahu, Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) sudah selesai membaik pulih dan menaik taraf sistem perparitan Stadium Sultan Muhammad IV dan bagi tahun ini, peruntukan sudah diperoleh untuk kerja-kerja penambahbaikan kawasan hadapan astaka serta lain-lain kemudahan asas.
“Kita (PSK) bercadang untuk memasang hiasan karpet rumput di kawasan hadapan astaka dan melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan tandas secara berperingkat. Selain itu PSK akan beri tumpuan kepada penambahan kerusi di tempat duduk penyokong secara berperingkat,” katanya. – UTUSAN