PETALING JAYA: UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta), mencatatkan Kerugian Sebelum Cukai (LBT) sebanyak RM11.8 juta keputusan kewangan yang belum diaudit bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025, berbanding Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM19.6 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.
Hasil keseluruhan turut menurun sebanyak 4.6 peratus, daripada RM677.6 juta dalam suku pertama tahun kewangan 2024 kepada RM646.1 juta pada suku semasa.
Jumlah hasil pula berkurangan kepada RM646.1 juta, iaitu penurunan sebanyak 4.6 peratus berbanding RM677.6 juta yang direkodkan dalam suku pertama tahun kewangan 2024.
Prestasi syarikat dipengaruhi oleh peningkatan kos operasi, khususnya dalam aspek tenaga kerja, penunaian beberapa kontrak ‘one-off’ serta faktor bermusim.
Meskipun berhadapan dengan cabaran, UEM Edgenta menyaksikan momentum positif melalui pengoperasian antarabangsanya, yang dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan syarikat pada masa hadapan.
Dalam pada itu, UEM Edgenta berkata, pengoperasian Kumpulan di Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah merekodkan pertumbuhan hasil tahun-ke-tahun yang kukuh sebanyak 24 peratus, hasil daripada usaha penyepaduan yang berkesan dan pengembangan entiti baharu yang diperoleh.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta Berhad., Syahrunizam Samsudin berkata, di Singapura, kejayaan memperoleh kontrak baharu berjumlah RM462.8 juta dalam unit penyelesaian penjagaan kesihatan telah memperkukuhkan nilai buku pesanan kumpulan.
Katanya, kontrak tambahan di Taiwan (RM328.7 juta) turut menyokong usaha kumpulan untuk menstabilkan dan mengukuhkan prestasi perniagaannya.
“Walaupun suku pertama menghadapi beberapa cabaran seperti peningkatan kos dan faktor bermusim, kejayaan kami menembusi pasaran utama seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Singapura baru-baru ini telah menyediakan asas bagi usaha pemulihan.
“Kami kekal komited terhadap pengurusan kos, meningkatkan kecekapan operasi serta memanfaatkan kehadiran kami di peringkat antarabangsa bagi menyokong usaha pemulihan jangka panjang,” katanya kepada pemberita mengenai keputusan kewangannya secara maya di sini.
Bahagian Penyelesaian Penjagaan Kesihatan telah menyumbang hasil sebanyak RM386.2 juta bagi suku ini, sekaligus mengekalkan prestasi stabil dalam perkhidmatan sokongan hospital serta memperluaskan kehadirannya dalam sektor penjagaan kesihatan swasta dan pasaran berkaitan.
Manakala, bahagian Penyelesaian Hartanah dan Kemudahan telah mencatatkan penurunan hasil berikutan penunaian kontrak yang telah dirancang, namun operasi antarabangsa telah menunjukkan pertumbuhan yang kukuh.
Sementara itu, bahagian Penyelesaian Infrastruktur menyaksikan pengurangan projek perundingan, namun peningkatan aktiviti penyelenggaraan lebuh raya ekspres dan pengkomersialan kilang Turapan Asfalt Kitar Semula (Recycled Asphalt Plant – RAP) dijangka menyokong prestasi pada suku akan datang.
Sehingga 31 Mac 2025, UEM Edgenta mengekalkan kedudukan tunai yang kukuh berjumlah RM473.6 juta, membolehkan pelaburan berterusan dilaksanakan selaras dengan keutamaan strategik kumpulan.
Di bawah pelaksanaan program transformasi Edgenta of the Future 2025 (EoTF25), kumpulan telah mencapai penjimatan kos sebanyak RM42.75 juta daripada sasaran lima tahun yang bermula pada tahun kewangan 2024.
Beliau menegaskan, pihaknya akan terus memanfaatkan platform digital seperti Asseto dan UETrack bagi melancarkan operasi serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
“Kehadiran kerjasama strategik di peringkat antarabangsa dan portfolio yang pelbagai merupakan teras kepada usaha pemulihan serta daya tahan jangka panjang syarikat,” katanya. – UTUSAN