KUALA LUMPUR: Perlawanan persahabatan Tier 1 antara Harimau Malaya berdepan Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam gagal menarik sokongan peminat skuad kebangsaan apabila suasana agak suram.
Tinjaun Utusan Malaysia sehingga pukul 6 petang menyaksikan pergerakan penonton agak perlahan, berkemungkinan perlawanan diadakan pada hari bekerja.
Kurang daripada 1,000 penyokong kelihatan berada di kawasan sekitar stadium, sekali gus berkemungkinan sorakan pemain ke-12 bakal hambar.
Keadaan ini nyata berbeza jika dibandingkan dengan sambutan luar biasa yang diberikan peminat bola sepak tempatan semalam di Stadium Nasional Bukit Jalil melibatkan aksi Manchester United berdepan ASEAN All Star.
Perlawanan antara gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United dan pasukan gabungan ASEAN All Stars menarik ribuan penyokong membanjiri stadium seawal tengah hari yang telah beratur panjang seawal pukul 3 petang untuk memasuki stadium.
Pintu masuk ke stadium sesak dan kawasan parkir penuh, menggambarkan keterujaan luar biasa peminat untuk menyaksikan kelibat bintang antarabangsa beraksi.
Sebaliknya, perlawanan membabitkan skuad Harimau Malaya menentang Cape Verde yang sepatutnya menjadi medan pemanas badan sebelum kempen kelayakan, seakan tidak mendapat sambutan dan difahamkan hampir 4,000 penyokong bakal hadir ke stadium.
Walaupun Cape Verde bukan pasukan ternama, kehadiran mereka tetap penting dalam menyediakan persiapan terbaik buat skuad negara.
Pemerhatian juga mendapati suasana di luar stadium agak lengang dengan hanya beberapa gerai jualan dan menyaksikan ‘marshall’ perlawanan lebih ramai berbanding penonton.
Diharapkan kehadiran penyokong akan meningkat sebelum sepak mula, bagi memberikan sokongan moral kepada anak buah Peter Cklamovski dalam aksi penting ini bagi membentuk skuad terbaik menjelang perlawanan penting menentang Vietnam 10 Jun ini.-UTUSAN