PETALING JAYA: Leong Jun Hao meneruskan sensasi kejutan Terbuka Singapura apabila menumbangkan pilihan utama Indonesia, Jonatan Christie 21-16, 21-19 dalam masa 53 minit pada aksi pusingan kedua hari ini.
Kemenangan itu bukan sahaja menempah slot ke suku akhir, malah memperbaiki rekod pertemuannya kepada 3-2 selepas lima kali berentap.
Jun Hao berkata, beliau cuba sedaya upaya untuk mengikuti rentak pantas Jonatan pada set kedua dan pada akhirnya mengambil itu sebagai kelebihan untuk menumpaskan juara Asia 2023 itu.
“Ya saya cuba menyesuaikan diri dengan rentak pantasnya yang berubah secara tiba-tiba pada set kedua.
“Saya hanya memberi fokus kepada keadaan gelanggang yang anginnya agak kuat,” kata Jun Hao kepada BWF selepas perlawanan.
Pemain berusia 26 tahun itu bakal berdepan ujian getir apabila dijadualkan menentang pemain No. 2 dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn pada aksi suku akhir, esok.
Kunlavut mara selepas menewaskan pemain muda China, Wang Zheng Xing 21-8, 21-17 dalam masa 44 minit.
Pencapaian ini merupakan yang terbaik buat Jun Hao di kejohanan ini selepas sering terkandas awal sejak awal musim.
Kali terakhir anak jati Kuala Lumpur itu mara sejauh ini adalah ketika muncul naib juara di Jepun Masters 2024. – UTUSAN