PETALING JAYA: Destini Berhad (Destini), penyedia penyelesaian kejuruteraan mencatat Keuntungan Selepas Cukai (PAT) bernilai RM23.2 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2025, disokong oleh hasil sebanyak RM250.2 juta.
Bagi suku ketiga 2025, Destini mencatatkan pertumbuhan hasil yang stabil sebanyak 4.9 peratus, mencecah RM87.67 juta berbanding RM83.56 juta pada suku sebelumnya.
Untung bersih dalam suku dikaji meningkat sebanyak 4.8 peratus kepada RM8.47 juta berbanding RM8.09 juta pada suku sebelumnya.
Pengarah Eksekutif Destini, Ismail Mustaffa berkata pengambilalihan syarikat Trovon menunjukkan peningkatan memberangsangkan kepada Destini.
“Pengambilalihan penuh 100 peratus ekuiti Trovon Group Pty Ltd (Trovon) telah mengukuhkan kejayaan keseluruhan dengan menambah nilai buku pesanan sebanyak RM91.54 juta, menjadikan jumlah kepada RM785 juta setakat 31 Mac 2025.
“Langkah strategik ini memperluas capaian Destini ke pasaran dan keupayaan baharu, dan Kumpulan akan terus giat mencari peluang projek tambahan melalui Trovon.
“Dengan memanfaatkan kepakaran khusus dan kehadiran pasaran yang mantap oleh Trovon, Destini berhasrat untuk memperkukuh dan mempelbagaikan buku pesanan di pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Prestasi kukuh Destini dalam semua sektor teras bagi suku ketiga 2025 mencerminkan pelaksanaan inisiatif strategik yang berkesan, pemulihan pasaran dan penambahbaikan operasi.
Dalam sektor mobiliti, peningkatan hasil dipacu oleh penghantaran berjaya tiga unit tren kepada Kementerian Pengangkutan dan sumbangan sulung daripada Trovon selepas transaksi dimuktamadkan dalam suku kedua 2025.
Sektor penerbangan dan pertahanan mendapat manfaat daripada peningkatan aktiviti perdagangan serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), disokong oleh kontrak baharu berkaitan kerajaan, sekali gus kembali mencatat keuntungan.
Sektor marin menyaksikan peningkatan kukuh dalam aktiviti servis dan kawalan kos yang bertambah baik, manakala permintaan meningkat daripada operasi pembuatan di China turut memperkukuh prestasi.
Dalam sektor tenaga, kebangkitan semula aktiviti berkaitan pelantar serta pengurusan kos yang ketat membolehkan segmen ini mencatat keuntungan walaupun hasil sederhana.
Sementara itu, segmen lain turut menunjukkan pemulihan positif berikutan langkah pengoptimuman kos dan peningkatan pendapatan daripada aset bukan teras. – UTUSAN