PETALING JAYA: Jumlah pelaburan komited Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 meningkat kepada RM4.9 bilion daripada RM4.5 bilion pada 2023, dengan suntikan modal ke dalam ekonomi negara terkumpul berjumlah RM5.6 bilion.
Prestasi itu mencerminkan kekuatan portfolio Ekuinas yang berterusan, pelaksanaan berdisiplin dan pelaburan modal yang strategik.
Dana di bawah pengurusan (FuM) melonjak 19 peratus kepada RM5 bilion, sementara nisbah perbelanjaan operasi kepada FuM kekal mantap dan cekap pada kadar 1.1 peratus, mencerminkan pengurusan kos yang berdisiplin dan kecekapan operasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar berkata, dalam tahun yang dilanda cabaran ekonomi global, syarikat-syarikat portfolio Ekuinas berkembang maju dan terus berdaya tahan.
“Walaupun ketidakstabilan berterusan di pasaran global, kami tetap memberi tumpuan kepada pelaksanaan berdisiplin dan penciptaan nilai jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Pada tahun kewangan 2024, perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) syarikat portfolio di bawah Dana Ekuinas Direct berkembang sebanyak 3.3 peratus, pulih kembali daripada penyusutan tujuh peratus pada 2023.
Syarikat-syarikat yang menyumbang kepada prestasi yang lebih kukuh ini termasuk UNITAR Education Group, dengan lonjakan EBITDA sebanyak 77.2 peratus, disokong oleh peningkatan pengambilan pelajar antarabangsa dan inisiatif transformasi digital.
Sementara itu, Medispec (M) Sdn. Bhd. mencatatkan pertumbuhan EBITDA sebanya 48.7 peratus, dipacu oleh inisiatif pempelbagaian dan pengembangan strategik.
Exabytes Capital Group pula mencapai pertumbuhan EBITDA sebanyak 30.9 peratus berbekalkan permintaan lebih tinggi bagi infrastruktur digital dan penggunaan perkhidmatan berasaskan awan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Dana Ekuinas Direct (Tranche IV) mencatatkan Kadar Pulangan Dalaman Kasar (GIRR) yang mantap pada 38.9 peratus, Dana Ekuinas Direct (Tranche II) mencatatkan GIRR pada 12 peratus dan Dana Ekuinas Direct (Tranche III) menunjukkan peningkatan sederhana dengan GIRR pada 1.6 peratus.
Program Penyumberan Luar pula mencatatkan GIRR pada 3.8 peratus (Tranche I) dan -6.9 peratus (Tranche II).
Pencapaian utama Ekuinas pada tahun kewangan 2024 ialah pelupusan strategik kepentingan 50.2 peratus dalam ICON Offshore Bhd pada Mac 2024.
Dalam sektor di mana peluang pelupusan amat sukar dan penilaian tidak menentu, Ekuinas menyerlah sebagai salah satu pelabur institusi yang berjaya melaksanakan pelupusan dalam sektor minyak dan gas dengan menjana keuntungan.
Ekuinas mencatatkan keuntungan terkumpul lebih daripada RM500 juta sepanjang tempoh pegangan pelaburan selama 10 tahun.
Pada tahun dikaji, modal dilaburkan secara strategik dalam dua pelaburan langsung baharu iaitu Symbiotica Speciality Ingredients Sdn Bhd pada April 2024 dan Mizou Holdings Sdn Bhd pada Mei 2024.
Symbiotica Speciality Ingredients ialah pengeluar bahan farmaseutikal aktif (API) utama di Asia Tenggara, yang mempunyai pelanggan di lebih daripada 70 negara pada bulan April 2024, manakala Mizou Holdings sebuah syarikat Bumiputera yang mengkhusus dalam pembangunan mesin perindustrian bagi industri minyak sawit.
Satu lagi sorotan penting ialah pelancaran dana Kredit Persendirian Ekuinas bernilai RM800 juta pada November 2024, dengan matlamat menyediakan pembiayaan langsung patuh Syariah, terkhusus dan inovatif kepada syarikat-syarikat pasaran pertengahan yang kurang mendapat perhatian.
Aliff Omar berkata, tahun kewangan 2024 merupakan tahun transformasi bagi Ekuinas.
“Dalam persekitaran yang tidak menentu, kami telah memperhalusi tumpuan pelaburan dan menghasilkan nilai bermakna dalam portfolio,” katanya. – UTUSAN