PETALING JAYA: Agenda reformasi ekonomi negara perlu diteruskan tanpa mengira siapa yang menyandang jawatan Menteri Ekonomi kerana ia adalah agenda negara dan bukan agenda individu.
Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, dasar nasional tersebut juga telah diluluskan oleh Jemaah Menteri.
“Oleh itu, sesiapa pun yang menjawat jawatan itu perlu meneruskan agenda tersebut.
“Saya jangkakan bakal menyandang jawatan menteri ekonomi pasti mampu meneruskan kemapanan ekonomi khususnya kebajikan rakyat berpendapatan rendah. Ini bagi membolehkan kebajikan rakyat terus dijaga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), William Ng menggesa kerajaan mengekalkan kesinambungan dasar dan komited terhadap reformasi ekonomi jangka panjang susulan peletakan jawatan Menteri Ekonomi.
Menurutnya, negara bakal kehilangan satu lagi kitaran ekonomi sekiranya reformasi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tidak dilindungi dan dilaksanakan sepenuhnya.
“RMK13 tidak sepatutnya dilihat sebagai visi seorang menteri kerana RMK13 adalah pelan induk negara yang lahir daripada rundingan menyeluruh dan keperluan yang mendesak.
Pada 28 Mei, Datuk Seri Rafizi Ramli sah meninggalkan Kabinet berkuat kuasa 17 Jun ini selepas gagal mempertahankan jawatannya dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 yang lalu.
Rafizi sudah menghantar surat peletakan jawatan daripada Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rafizi gagal mempertahankan jawatan nombor dua dalam PKR selepas tewas kepada bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.
Malah, sebelum pemilihan lagi, Ahli Parlimen Pandan itu sudah pun menyatakan kesediaan untuk berundur daripada Kabinet sekiranya tewas.
Amanah terakhir sebagai Menteri Ekonomi sudah disempurnakan dengan penghasilan RMK13 yang telah dimuktamadkan dan menunggu untuk dibentangkan di Parlimen dalam sidang seterusnya. – UTUSAN