Bank Islam catat untung RM126.3 juta pada suku pertama

Perniagaan

PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM126.3 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025, bersamaan pendapatan sesaham kumpulan sebanyak 5.57 sen dan pulangan bersih ekuiti tahunan 7.0 peratus.

Pendapatan bersih kumpulan juga meningkat 9.0 peratus tahun ke tahun kepada RM673.5 juta, berbanding tempoh sama pada 2024.

Peningkatan itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh lonjakan 50.3 peratus pendapatan bukan berasaskan dana kepada RM133.6 juta, dipacu oleh pendapatan fi dan komisen lebih tinggi, transaksi pertukaran asing yang meningkat serta laba bersih daripada jualan sekuriti pelaburan.

Sementara itu, pendapatan berasaskan dana bersih turut mencatatkan kenaikan 2.1 peratus tahun ke tahun kepada RM539.9 juta, disokong oleh pertumbuhan dalam pembiayaan dan pelaburan sekuriti.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd. Muazzam Mohamed berkata, prestasi suku pertama itu menunjukkan perkembangan sederhana hasil daripada pelaksanaan strategi pertumbuhan yang mampan.

“Sebagai sebuah institusi kewangan patuh Syariah yang berpandangan jauh, Bank Islam terus berkembang seiring jangkaan pelanggan sambil memanfaatkan kemajuan teknologi dalam landskap kewangan Islam.

“Fokus berterusan kami terhadap perbankan bertanggungjawab dan pertumbuhan mampan jangka panjang turut memperkukuh kedudukan Bank Islam sebagai peneraju kewangan yang inklusif, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya.

Pada akhir suku pertama 2025, jumlah aset kumpulan meningkat 8.0 peratus tahun ke tahun, disokong oleh pertumbuhan pembiayaan, manakala Aset bersih sesaham pula bernilai RM3.41.

Dari segi pembiayaan, pembiayaan kasar meningkat 6.0 peratus tahun ke tahun kepada RM71.8 bilion, dipacu oleh pertumbuhan 6.5 peratus pembiayaan pengguna dan 10.4 peratus pembiayaan komersial.

Selain itu, deposit dan akaun pelaburan pelanggan juga meningkat 5.5 peratus tahun ke tahun kepada RM80.6 bilion.

Dalam pada itu, setakat Mac 2025, Akaun Semasa, Simpanan dan Pelaburan Transaksi (CASATIA) berjumlah RM30 bilion, mewakili komposisi sihat sebanyak 37.2 peratus daripada jumlah dana pelanggan.

Nisbah jumlah modal Bank Islam kekal teguh pada paras 18.7 peratus, mencerminkan kedudukan modal yang kukuh dan daya tahan kumpulan dalam menghadapi cabaran pasaran. – UTUSAN