PETALING JAYA: Pelumba berpengalaman Terengganu Cycling Team (TSG) B, Muhammad Nur Aiman Rosli melakar sejarah tersendiri apabila mengekalkan kejuaraan ujian masa perseorangan elit lelaki buat tahun keenam berturut-turut di Kejohanan Jalanraya Kebangsaan 2025 di Pagoh, Johor semalam.
Pelumba berusia 26 tahun itu menamatkan perlumbaan sejauh 40.6 kilometer (km) dengan catatan masa terpantas 50 minit 11.405 saat (s) di laluan sekitar Masjid Jamek Kampung Baharu Batu 28, Pagoh.
Anak kelahiran Muar itu turut menewaskan wakil Jakarta Pro Cycling, Dealton Nur Arif Prayogo yang sekadar mencatat 51:32.970s dengan rakan sepasukannya dari pasukan A, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff pula menduduki tempat ketiga dengan catatan 52:02.463s.
Aiman berkata, biarpun laluan agak mencabar, namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus mempertahankan gelarannya pada acara berkenaan.
“Alhamdulillah, Aiman dapat mengekalkan kejuaraan ini untuk kali keenam dan saya nak ucapkan terima kasih kepada TSG kerana beri peluang untuk terus mempertahankan gelaran.
“Laluan hari ini agak ‘rolling’ dan Aiman puas hati dengan prestasi sendiri dalam ujian masa perseorangan, jadi saya sudah bersedia untuk acara jalanraya,” kata Aiman.
Untuk rekod, Aiman menakluk ujian masa tersebut sejak 2019 menjadikannya pelumba paling konsisten dalam kategori tersebut setakat ini.
Sementara itu, pelumba muda TSG pasukan A, Kee Zhe Yie menjuarai acara ujian masa lelaki bawah 23 tahun (B-23) selepas mencatat masa 50:55.535s menewaskan pencabar dari Perak A, Muhammad Adam Hakimi Nazuan (52:23.156s).
“Hari ini saya sangat gembira dapat muncul juara ujian masa bawah 23 buat kali ketiga dan saya ingin berterima kasih kepada staf dan pasukan TSG.
“Laluan hari ini sangat mencabar, berbukit, dan esok jalan yang sama untuk acara road race, jadi saya dan pasukan akan cuba yang terbaik lagi,” kata pelumba berusia 22 tahun dari Dungun itu.-UTUSAN