PETALING JAYA: Pengendali Cape Verde, Pedro Brito memuji kualiti yang ditampilkan Harimau Malaya dalam aksi persahabatan Tier 1 yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1, kelmarin.
Pertemuan The Blue Sharks dan Malaysia itu menyaksikan pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pemain Viktoria Koln, Sidny Lopes Cabral pada awal babak pertama.
Bagaimanapun, pemain naturalisasi negara, Paulo Josue memastikan kedua-dua pasukan berpuas hati dengan keputusan seri menerusi gol penyamaan pada pada minit ke-79, iaitu seminit selepas dia dibawa masuk.
Meskipun berada di ranking ke-131 dunia, prestasi baik yang ditampilkan anak buah Peter Cklamovski mengagumkan Brito yang yang mengakui kedudukan ranking bukan penentu prestasi mana-mana pasukan.
“Saya tidak terkejut dengan (kualiti) pasukan Malaysia. Kita memulakan perlawanan dengan baik tetapi tidak kira tentang kedudukan ranking, pasukan seperti Malaysia boleh menewaskan pasukan yang memiliki ranking lebih tinggi seperti kita.
“Itu menunjukkan kedudukan ranking tidak penting. Bagi kita, itu bukan sesuatu yang mengejutkan. Kami gembira bermain di Malaysia dan beraksi dalam perlawanan sebegini.
“Kami ucapkan selamat berjaya kepada anda dalam perlawanan seterusnya (menentang Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027),” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi dalam aksi tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 3 Jun.- UTUSAN