PETALING JAYA: Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz perlu meletakkan jawatan sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri susulan peletakan jawatannya dalam UMNO.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh menyelar tindakan mengejut Ketua UMNO Bahagian Kota Raja itu dan menyifatkan akar umbi parti terlalu gembira dengan tindakan itu.
“Sepatutnya letak jawatan menteri sekali. Orang UMNO terlalu gembira dengan berita ini. Datang tidak diundang, pergi pun tidak dikesali. UMNO parti kita semua,” katanya dalam kenyataan di platform Facebook.
Semalam, Tengku Zafrul berkata, telah menghantar surat peletakan jawatan kepada pucuk pimpinan UMNO untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, keputusan itu dibuat setelah meminta nasihat dan pandangan dari dalam dan luar parti termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal secara sinis berharap PKR boleh menerima permohonan kemasukan Tengku Zafrul.
“Kepada PKR, semoga boleh menerima permohonan masuk Tengku Zafrul dan seterusnya boleh menjadi bukti betapa ‘setianya’ persahabatan antara UMNO dan PKR,” katanya. – UTUSAN