KUALA LUMPUR: Pemain naturalisasi negara, Paulo Josue membuktikan bahawa faktor umur bukan halangan untuk dirinya menyerlah dalam aksi antarabangsa.
Pemain berusia 36 tahun itu, menjadi penyelamat kepada kem negara apabila meledak gol bagi membantu skuad Harimau Malaya seri 1-1 menentang Cape Verde dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, kelmarin.
Dimasukan sebagai pemain gantian pada minit ke-78, Josue hanya memerlukan satu sentuhan untuk menggegarkan gawang Cape Verde, sekali gus menggamatkan stadium yang dihadiri ribuan penyokong Harimau Malaya.
“Saya sudah lama bermain di Cheras, tapi malam ini lain macam. Gol ini sangat istimewa, sebab saya wakili negara. Sentuhan pertama, gol terus, sukar dipercayai,” kata Josue ketika ditemui sebaik tamat perlawanan.
Pengalaman luas Josue jelas menjadi kelebihan apabila dia turut memainkan peranan penting dalam mengatur tempo permainan, selain bertindak sebagai penyambung antara jentera tengah dan serangan.
“Kami tahu Cape Verde bukan pasukan biasa. Tapi kami susun formasi bertahan lima di belakang dan empat di tengah, itu bantu sekat penguasaan mereka di separuh masa pertama,” katanya.
Tambahnya, selepas beberapa pertukaran dilakukan pada babak kedua, pasukan mula memperoleh ruang untuk mencipta peluang, dan akhirnya berjaya mendapatkan jaringan tunggal.
“Kami sebenarnya baru berlatih 10 hari selepas rehat panjang 30 hari tanpa perlawanan. Tapi syukur semuanya berjalan lancar. Saya rasa Cape Verde juga rasa ‘bahang’ cuaca Malaysia malam ini (kelmarin),” katanya.
Beliau turut memuji aksi dua pemain muda, Gabriel Palmero dan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili, yang menurutnya menunjukkan potensi tinggi dan perlu terus diberi peluang beraksi di pentas antarabangsa.
“Ubaid (Ubaidullah) sangat tenang walaupun pertama kali main dengan skuad senior. Gabi (Palmero) pun walaupun bukan posisi biasa di pertahanan kanan, beraksi bagus. Mereka patut terus diberi lebih banyak pendedahan,” katanya.-UTUSAN
KAPSYEN: JOSUE meraikan gol jaringannya ketika berdepan Cape Verde di, kelmarin.