GOMBAK: “Insha-Allah kalau ada rezeki kekal Menteri Besar Selangor. Dia (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) nak pergi haji, saya minta dia doakan.”
Itu seloroh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari ketika diminta mengulas spekulasi bahawa penyertaan Tengku Zafrul ke PKR bertujuan untuk menggantikan beliau sebagai Menteri Besar Selangor.
Menurut Amirudin, ura-ura tersebut adalah terlalu jauh untuk dipertimbangkan secara realistik, memandangkan beberapa proses besar perlu dilalui dalam tempoh yang singkat.
“Bagi saya, terlalu panjang ceritanya. Saya tak rasa ada jalan ke arah itu (Tengku Zafrul bertanding Menteri Besar Selangor) sebab nak kena buat pilihan raya kecil pula. Kita cuma berbaki dua tahun setengah penggal ini, tidak banyak yang boleh diatur dalam masa terhad ini,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 di sini, hari ini.
Tempoh lantikan Tengku Zafrul sebagai ahli Dewan Negara akan tamat penghujung tahun ini.
Dengan berakhirnya penggal kedua sebagai senator akan memberikan beberapa kesan bukan sahaja kepada Tengku Zafrul tetapi juga kepada sistem politik.
Beliau sudah tidak lagi boleh memegang jawatan kabinet, maka Perdana Menteri perlu melakukan rombakan kabinet bagi mengisi kekosongan jawatan ini.
Maka sebab itu, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta keahliannya dalam parti itu yang dianggotainya sejak 1997.
Tengku Zafrul dalam satu kenyataan memaklumkan surat peletakan jawatan tersebut telah dihantar kepada pucuk pimpinan parti.
Sebelum ini, terdapat desas-desus menggantikan Datuk Amirudin Shari dengan Zafrul yang merupakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Perubahan tersebut memerlukan satu Pilihan raya kecil (PRK) diadakan kerana Tengku Zafrul bukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu. – UTUSAN