Tiada pilih kasih atau ‘kasta’ dalam Harimau Malaya

Sukan

KUALA LUMPUR: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan semua pemain yang menyarung jersi Malaysia tiada perbezaan ‘kasta’ biarpun ada segelintir pihak sering membangkitkan isu ‘anak tempatan’ dalam skuad kendaliannya.

Jelasnya, antara pemain tempatan, warisan atau naturalisasi tidak perbezaan atau layanan istimewa diberikan apabila mereka menyarung jersi kebangsaan.

Tegas pengendali kelahiran Australia itu, semua pemain dianggap sebagai warganegara Malaysia dan layak mendapat peluang jika menunjukkan kualiti dan komitmen dalam latihan serta perlawanan.

“Bagi saya, tidak penting sama ada pemain itu tempatan, warisan atau naturalisasi. Yang penting, mereka berikan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan, kelmarin.

Pada aksi menentang pasukan di ranking ke-72 dunia, Cape Verde kelamrin, Cklamovski membuat keputusan berani apabila menyenaraikan tujuh anak tempatan dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya bagi aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur itu.

Skuad kebangsaan jelas tidak kekok untuk berdepan pasukan diranking lebih tinggi daripada mereka yang berada di tangga ke-132 apabila mempamerkan persembahan bertenaga dan berjaya mengikat pasukan itu.

Beraksi di hadapan 10,708 penyokong Harimau Malaya, pasukan pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit kesembilan menerusi Sidney Cabral, namun penyerang berpengalaman negara, Paulo Josue yang baru saja dimasukkan pada babak kedua berjaya menyamakan kedudukan 1-1 di minit ke-79.

Cklamovski menjelaskan bahawa pemilihan pemain kali ini dilakukan dalam tiga fasa kerana musim liga baru saja berakhir, sekali gus memerlukan pendekatan berperingkat dalam kem latihan.

“Kita bahagikan kepada tiga fasa supaya pemain dapat menyesuaikan diri dan mengurangkan risiko kecederaan selepas tamat musim liga,” jelasnya.

Cklamovski juga menekankan bahawa beliau sentiasa terbuka untuk memberikan peluang kepada pemain muda, selagi mereka menunjukkan potensi dan kesungguhan.

“Dalam fasa pertama ini, kita panggil enam pemain bawah 23 tahun. Salah seorang daripada mereka telah dipilih sebagai pemain terbaik malam ini. Itu bukti kita berada di landasan betul,” ujarnya.-UTUSAN