Jangan biar orang macam Tengku Zafrul ganggu hala tuju UMNO 

Politik

PETALING JAYA: UMNO mesti meneruskan perjuangan meskipun ada individu meninggalkan parti untuk menyertai entiti lain, seperti keputusan dibuat Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang memohon menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), semalam. 

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu, nama dan kedudukan kerana parti terbina atas kekuatan akar umbi, semangat perjuangan dan keyakinan rakyat. 

Katanya, beliau tidak menganggap tindakan Tengku Zafrul sebagai luar biasa atau mengejutkan kerana ia sebahagian daripada dinamik politik. 

“UMNO tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu. Kita adalah sebuah parti yang dibina atas kekuatan akar umbi, semangat perjuangan, dan keyakinan rakyat, bukan pada nama atau kedudukan. Orang datang dan pergi, ini lumrah dalam politik. Yang penting, perjuangan ini mesti diteruskan.

“Semua orang berhak memilih jalan mereka dan kami pilih untuk terus bergerak ke hadapan, fokus membina semula kekuatan parti dan memperjuangkan nasib rakyat,” katanya dalam kenyataan di platform Facebook, hari ini.

Semalam, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli UMNO dan menyatakan hasrat menyertai PKR.

Tambah Mohamad, beliau menghormati keputusan Tengku Zafrul dengan memilih arah politik lebih dekat dengan pandangan peribadinya.

Katanya, sepanjang berada dalam kerajaan atas tiket UMNO, Tengku Zafrul memainkan peranan sebagai teknokrat yang menyumbang dalam bidang ekonomi dan kewangan. 

“Kepada ahli dan penyokong UMNO, jangan goyah. Jangan biar tindakan satu dua orang mengganggu hala tuju kita. Parti ini bukan dibina sehari dua dan bukan diangkat hanya kerana seorang tokoh. 

“UMNO adalah amanah yang lebih besar daripada itu. Kita ada kerja yang jauh lebih penting iaitu menyatukan, memperbaiki dan memulihkan kepercayaan rakyat kepada kita,” katanya. – UTUSAN