SUNGAI PETANI: Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari menyifatkan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi sebagai keputusan peribadi yang selari dengan pendirian beliau sejak awal.
Menurut beliau, keputusan itu adalah perkara yang normal dan beliau berharap Rafizi masih boleh terus menyumbang kepada parti dan rakyat khususnya di Parlimen Pandan dan negara secara keseluruhannya baik dari segi idea dan tenaga.
“Walaupun beliau memilih untuk tidak lagi memegang jawatan sebagai menteri namun sumbangan beliau masih amat diperlukan oleh parti dan rakyat.
“Tapi kita menghormati juga perletakkan jawatan beliau dan saya harap kekosongan itu dapat diisi dengan baik dan orang yang mampu meneruskan agenda ekonomi negara yang telah dicadangkan selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Hari Bersama Pelanggan sempena Sambutan Minggu Perubatan Kecemasan Sedunia Peringkat Negeri Kedah di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini hari ini.
Terdahulu, Rafizi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan sudah menghantar surat peletakan jawatan daripada Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri.
Keputusan itu dibuat selepas kedua-dua mereka gagal mempertahankan kedudukan Timbalan Presiden dan Naib Presiden dalam pemilihan PKR, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Taufiq turut mengulas mengenai hasrat Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR.
Katanya, beliau juga menghormati Tengku Zafrul dan menyerahkan sepenuhnya kepada pimpinan atasan parti untuk membuat keputusan terbaik demi parti dan rakyat.
“Saya menghormati keputusan beliau dan menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan atasan parti untuk membuat pertimbangan terbaik,” ujarnya. – UTUSAN