BATU PAHAT: Keputusan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meninggalkan UMNO untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kedua-dua parti berada dalam gabungan sama dan isu tersebut perlu ditangani secara bijak demi kestabilan politik negara.
“Keputusan beliau satu kehilangan, tetapi tidak menjejaskan hubungan dengan PKR. Kerajaan ini perlu kekal hingga akhir penggal bagi memastikan pembangunan negara terus berjalan,” katanya selepas majlis Penyerahan Kampung Angkat Madani di Dewan Serbaguna Taman Melodi LP Kampung Parit Bilal, Batu Pahat di sini hari ini.
Mengenai gesaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh agar Tengku Datuk Seri Zafrul meletakkan jawatan dalam kabinet, Johari menegaskan hal itu sebagai hak Perdana Menteri kerana Zafrul merupakan senator dan tidak tertakluk kepada akta anti lompat parti.
“Tengku Datuk Seri Zafrul tidak terikat dengan akta anti lompat parti kerana statusnya sebagai senator yang tidak terikat dengan akta berkenaan.
“Bagaimana pun, sehingga malam tadi, Pimpinan tertinggi UMNO termasuk Presiden masih belum menerima surat perletakkan jawatan yang dimaksudkan,” katanya.
Datuk Seri Tengku Zafrul mengumumkan telah menghantar Surat Perletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan Ahli parti.
Katanya, surat itu telah dihantar kepada pucuk pimpinan parti dan menerima nasihat daripada pelbagai pihak termasuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden Parti.
Dalam kenyataan rasminya, beliau berhasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). – UTUSAN