Tengku Zafrul tidak wajar jadi teladan pemimpin muda

Politik

MELAKA: Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd Ali menyifatkan tindakan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz keluar daripada UMNO dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai contoh kepemimpinan tidak berprinsip yang wajar ditolak generasi muda.

Mohd. Ridhwan berkata, tindakan itu jelas menggambarkan kepemimpinan yang lemah, oportunis dan mengutamakan kedudukan berbanding nilai kesetiaan kepada parti yang mengangkatnya.

“Apabila seseorang meninggalkan pasukan yang mengangkatnya tetapi terus kekal memegang jawatan, ia menunjukkan kepemimpinan goyah dan berlandaskan kepentingan peribadi. Ini bukan teladan baik untuk pemimpin muda,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Tengku Zafrul berkata, telah menghantar surat peletakan jawatan kepada pucuk pimpinan UMNO untuk menyertai PKR.

Beliau yang merupakan Ahli Majlis Ter­tinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja berkata, keputusan itu dibuat setelah meminta nasihat dan pandangan dari dalam dan luar parti termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan hasrat dan niat untuk menyertai PKR.

Tambah Mohd. Ridhwan, kepemimpinan sebenar perlu bersandarkan prinsip dan keberanian untuk melepaskan jawatan apabila tidak lagi bersama parti yang menjadi platform asal.

“Anak muda sedang membentuk acuan kepemimpinan mereka. Jika budaya lompat parti demi kuasa dijadikan normal, kita bakal mewarisi pemimpin rapuh di masa hadapan,” katanya. – UTUSAN