SEREMBAN: Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak terikat dengan pampasan RM100 juta yang terkandung dalam aku janji semasa menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, aku janji itu hanya terpakai kepada calon BN yang memenangi pilihan raya dan seterusnya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen.
“Itu tidak termasuk dalam bidang lingkup perjanjian tersebut kerana Tengku Zafrul tidak memenangi pilihan raya. Kerana itu (pampasan RM100 juta) adalah merupakan aku janji seorang wakil rakyat ataupun ADUN atau Ahli Parlimen (BN).
“Jika mereka menang, kerusi tersebut adalah kepunyaan parti, bukan kepunyaan individu tersebut dan individu-individu yang menjadi calon dan menang, mereka menandatangani banyak perjanjian.
“Perjanjian untuk mengembalikan semula kos yang telahpun dikeluarkan oleh parti dan bermacam-macam lagi. Jadi Tengku Zafrul tak menang. Dia jadi menteri pun atas asas dia seorang senator. Jadi saya tak nampaklah bahawa aku janji tersebut dapat dikuatkuasakan,” katanya.
Beliau diminta mengulas gesaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi agar UMNO menyemak semula kemungkinan menuntut pampasan sebanyak RM100 juta sekiranya tindakan Tengku Zafrul dikira sebagai lompat parti.
Semalam, Tengku Zafrul berkata, telah menghantar surat peletakan jawatan kepada pucuk pimpinan UMNO untuk menyertai PKR.
Beliau yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja berkata, keputusan itu dibuat setelah meminta nasihat dan pandangan dari dalam dan luar parti termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan hasrat dan niat untuk menyertai PKR. – UTUSAN