PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menyindir Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan menyatakan bahawa parti itu wajar dikecam jika menerima penyertaan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Mohd Puad turut mencadangkan agar semua perwakilan UMNO membawa usul mengecam tindakan Zafrul yang dianggap ‘melompat parti’ ke dalam perbahasan Perhimpunan Agung UMNO Ogos ini.
“PKR patut dikecam kerana menerima ‘katak’. UMNO parti yang mengutamakan rakyat dan taat kepada Raja-Raja Melayu. Sebab itu kita menyertai Kerajaan Perikatan Nasional dan kini Kerajaan Perpaduan. Jangan biarkan tindakan seperti ini menggugat kestabilan,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, bagi menyertai PKR.
Keputusan itu dilakukan selepas mendapat pandangan pelbagai pihak termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Mohd. Puad menegaskan UMNO tidak boleh “dicucuk hidung” dan perlu berkeras dalam isu Tengku Zafrul kerana tidak mahu ia menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan. – UTUSAN